Skip to main content

Bola Sepak

Felda, PKNP sama handal

thomas-abbey-pknp-fc.jpg
FELDA 1 PKNP 1

Kemenangan terus tertangguh buat Felda United dan PKNP FC dalam Liga Super 2019  apabila kedua-dua pasukan itu berkongsi satu mata dalam aksi sebentar tadi. 


Selepas meraih keputusan sama dalam perlawanan pembukaan menentang Selangor, Felda United bangkit untuk mengikat PKNP 1-1 ketika menyambut pasukan lawan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. 

PKNP ternyata lebih bernafsu besar untuk memburu kemenangan selepas dikecewakan 0-2 di tangan Kedah minggu lalu. 

Peluang awal skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu menjelma pada minit ke-16, namun lambungan Fazrul Hazli Kadri sedikit sipi daripada pintu gol Felda yang dikemudi Norazalan Razali. 

Hanya selepas 20 minit permainan, Jocinei Schad, menghadirkan ancaman tepat pertama ke arah gawang PKNP.

Lima minit berselang, gol PKNP dibatalkan selepas Yashir Pinto didakwa di kedudukan ofsaid ketika melakukan tandukan. 

Begitupun, kehampaan itu ditebus oleh Thomas Abbey yang menyambut kemas sepakan percuma untuk jaringan pembukaan pada minit ke-36. 

Hajat PKNP untuk melebarkan kedudukan tidak tertunai apabila sekali lagi dihukum ofsaid untuk gol kedua. 

Selepas sejam permainan, The Fighters mula menukar percaturan tetapi kubu mereka terus diancam. 

Pemain gantian PKNP, Kalidou Yero, nyaris membuka akaun jaringan tetapi ternyata Nor Azlan sudah bersedia. 

Selepas cemas apabila percubaan Pinto terkena tiang, Felda mengimbangi kedudukan perlawanan apabila sepakan percuma ketua pasukan, Hadin Azman, terkena Yero yang membentuk tembok pertahanan sebelum bola berkenaan melencong menerjah jaring pelawat. 

Hadin beroleh situasi yang sama pada minit ke-85, namun sepakannya sempat ditumbuk keluar untuk kedua-dua pasukan terpaksa akur berkongsi mata. 
 

Advertisement

Must Watch Video