Skip to main content

Bola Sepak

FAS perkenal sistem tiket berteknologi baru

datuk-shahrizal.jpg
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terus mengorak langkah ke depan dalam misi transformasi pasukan itu.
 
Bagi memberikan nafas baru kepada pasukan dan penyokong, FAS memperkenalkan sistem pengurusan tiket baru yang mula beroperasi dalam perlawanan pertama Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Sistem yang diperkenalkan itu mengalihkan semua transaksi dan pengurusan tiket perlawanan kepada platform online FAS serta operasi itu turut dilengkapi dengan teknologi imbasan kod "QR" bagi memudahkan urusan jual beli tiket serta kawalan keluar masuk penyokong ke stadium.

Hasil kerjasama dengan Ticket Hotline, operasi itu turut membolehkan penyokong yang membeli tiket berkenaan untuk mencetak serta merta kad akaun tiket mereka di pintu masuk stadium.

Ketua Pegawai Eksekutif Ticket Hotline, Datuk Zairil Ayu Ibrahim, berkata: "Kami sangat berbangga kerana diberi peluang untuk berkerjasama dan berkongsi pencapaian ini dengan FAS.

“Ia merupakan salah satu matlamat yang telah lama kami harapkan untuk direalisasikan. 

"Kali ini, kami amat berbesar hati kerana ada pihak yang berfikiran ke hadapan dan terbuka," katanya.

Tiket yang dijual secara online boleh didapati dengan harga serendah RM12, tidak termasuk caj transaksi online bagi setiap pemegang kad keahlian Red Giants.

Ia juga adalah satu langkah untuk mengajak lebih ramai penyokong untuk menggunakan kemudahan yang telah disediakan itu.

Penyokong juga mempunyai pilihan untuk membeli pas bermusim dengan harga serendah RM199 untuk Pas Bermusim Terbuka Dewasa, RM79 untuk Pas Bermusim Kanak-Kanak dan RM399 untuk Pas Bermusim VIP yang dilengkapi dengan beberapa barangan rasmi FAS edisi terhad.

Advertisement

Must Watch Video