Skip to main content

Bola Sepak

Fakhrul kecewa tewas dalam aksi sulung bersama MISC-MIFA

fakhrul-zaman.jpg
Hajat ‘penyerang pinjaman’, Fakhrul Zaman Wan Abdullah membantu pasukan baharunya, MISC-MIFA, mencipta kejutan mengalahkan Kuala Lumpur dalam penampilan pertamanya berkecai apabila mereka tewas 1-2 dalam aksi menarik di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, petang semalam.

Fakhrul Zaman, 23, yang kembali bergandingan dengan bekas ketua jurulatih Kelantan, K. Devan, yang kini memikul tugas pengarah teknikal MISC-MIFA,  menyifatkan  dua gol awal pasukan pelawat dalam separuh masa pertama menghancurkan impiannya untuk memburu mata pertama.

“Kami dikejutkan dengan dua gol awal pasukan Kuala Lumpur dalam separuh masa pertama dan mula bangkit dalam babak kedua.

“Jaringan Luiz (Eduardo) memberikan kami semangat bagi mencari gol penyamaan, malangnya segala percubaan gagal,” katanya.

Fakhrul Zaman, yang juga bekas penyerang pasukan Liga Super Kelantan musim ini, mengakui gagal mengambil kesempatan mencari gol penyamaan dalam baki 15 minit terakhir perlawanan apabila Kuala Lumpur terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

“Selepas ketua pasukan Kuala Lumpur (Hishamuddin Shaari) diarah meninggalkan padang, kami menggandakan asakan, malangnya pertahanan mereka kental bertahan.

“Kami akan bangkit daripada kekalahan ini kerana semua pemain berjanji untuk memastikan pasukan ini kekal dalam saingan Liga Perdana musim depan,” katanya.

Kekalahan kali ke-12 dalam saingan Liga Perdana menyaksikan skuad MISC-MIFA kekal di tangga ke-10 dengan enam mata hasil daripada dua kemenangan.

Advertisement

Must Watch Video