Skip to main content

Bola Sepak

Emery yakin Arsenal akan ke Liga Juara-Juara

unai-emery.jpg
HUDDERSFIELD TOWN 1 ARSENAL 2

Pengurus Arsenal, Unai Emery, tidak menolak situasi sukar yang dihadapi pasukannya untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, namun kemenangan 2-1 ke atas Huddersfield Town malam tadi kembali membuka peluang pasukannya untuk memburu slot berkenaan.


Kemenangan itu merupakan kemenangan pertama Arsenal di laman lawan sejak November tahun lalu walaupun jaringan sendiri daripada Sead Kolasinac menghalang mereka untuk tidak dibolosi buat kali pertama sejak Emery mengambil alih pasukan.

Hanya satu mata membezakan Arsenal (keenam) dengan pasukan di tangga keempat, Manchester United, walaupun Chelsea yang berada di tangga kelima akan kembali ke kedudukan empat terbaik andai mereka dapat mengelakkan kekalahan ketika menentang Manchester City awal pagi esok.

Dan ketika Emery sudah menerima kesukaran yang dihadapi untuk pasukannya memintas Arsenal dan Chelsea, dia kini lebih berkeyakinan untuk mengharungi baki musim yang kian ke penghujung.

"Sudah hari (perlawanan) ke-26? Kami kini hanya satu mata di belakang Manchester United," katanya ketika ditanya mengenai peluang pasukannya ke Liga Juara-Juara.

"Jika kami ditanya sama ada ia mudah atau sukar, ia sememangnya sukar.

"Namun, kami akan menamatkan musim di kedudukan empat terbaik dan pada hari ke-26 ini, kami sedang menuju ke arah itu.

"Kami menang, untuk tidak dibolosi itu penting, namun apa yang lebih penting adalah kemenangan.

"Anda boleh tidak dibolosi dan hanya seri. Kami berbincang di bilik persalinan pasukan dan apa yang penting adalah kemenangan.

"Apa yang penting, kami perlu menambah jaringan, selepas itu barulah boleh berfikir untuk tidak dibolosi.

"Setiap pemain bermain baik dan apa yang terjadi di penghujung perlawanan itu disebabkan kami tidak bernasib baik.

"Mereka memperoleh jaringan, mungkin mereka layak untuk mendapatkannya.

"Kemenangan itu amat penting, tiga mata berkenaan akan merapatkan kami dengan empat kedudukan teratas.

"Itu adalah sasaran kami. Kami tahu kami perlu beraksi konsisten di laman sendiri dan laman lawan.

"Kemenangan hari ini memberikan kami lebih keyakinan.

"Ia juga memberikan kami peluang untuk meneruskan sasaran kami dalam Liga Perdana," katanya.

Advertisement

Must Watch Video