LIGA SUPER MSIA
Durakovic, Aidil simpati nasib pengadil
Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, dan jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, bersimpati dengan nasib yang menimpa pengadil, Hamdan Awang, dalam perlawanan kedua-dua pasukan di Ipoh, malam tadi.
Walaupun mengakui kali pertama menempuh peristiwa pengadil mengalami kecederaan ketika mengadili perlawanan, kedua-dua pengendali itu berharap agar Hamdan segera pulih.
"Ia bukan disengajakan atau dirancang. Ia sesuatu di luar dugaan.
Iklan
"Saya berharap dia segera pulih dan boleh meneruskan tugasan, " kata Aidil.
Durakovic juga tidak mahu menyentuh banyak mengenai apa yang berlaku kerana hanya berminat bercakap mengenai bola sepak.
"Ini kali pertama berlaku dalam kerjaya saya sebagai jurulatih. Apapun, ia bukan masalah besar biarpun ia menjejaskan sedikit rentak perlawanan akibat terhenti agak lama," katanya.
Dalam insiden pada minit ke-60 itu, Hamdan menghentikan perlawanan dipercayai kerana kejang otot untuk menerima rawatan.
Perlawanan diteruskan semula 28 minit kemudian dengan Hamdan digantikan pembantu pengadil 1, Mohd Shahreen Omar, manakala Shahreen digantikan oleh pegawai perlawanan keempat, Abdul Halim Mohd Ramlan.
Apa yang pasti, kedua-dua jurulatih itu berpuas hati dengan persembahan anak buah mereka.
"Pemain mempamer persembahan baik, perlawanan berlangsung sengit dan menarik.
"Kami mencipta peluang dan patut boleh mengutip mata penuh, " kata jurulatih Perak itu.
Aidil pula memang menjangkakan perlawanan yang sukar kerana bertemu lawan handal.
"Perak adalah pasukan yang kuat. Mereka adalah juara Piala Malaysia.
"Saya gembira pemain Kedah berjaya memberi saingan dan kami beroleh satu mata daripada kunjungan ini, " katanya.
Must-Watch Video