Borussia Dortmund mengutuk tindakan sesetengah penyokongnya selepas polis Jerman menahan 28 individu yang disyaki terlibat menyerang penyokong RB Leipzing menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada Sabtu.
Menurut kenyataan polis tempatan, beberapa penyokong lawan telah dibaling dengan botol dan batu ketika cuba menuju ke Stadium Signal Iduna Park dalam perlawanan yang menyaksikan Dortmund menang 1-0 hasil jaringan Pierre-Emerick Aubameyang.
Polis turut mendakwa kekacauan itu terarah kepada mencederakan kanak-kanak dan ahli keluarga dengan beberapa tangkapan telah dibuat.
Satu kenyataan polis menyebut: "Ketika di kawasan Strobelallee menuju ke stadium, penyokong RB Leipzig telah dilontar dengan botol dan batu oleh penyokong Borussia Dortmund.
"Kekerasan tersebut ditujukan kepada sesiapa sahaja yang dilihat seperti penyokong RB Leipzig -- tidak kira sama ada mereka ini adalah kanak-kanak, wanita atau ahli keluarga."
Ketua Polis Dortmund, Edzard Freyhoff, menambah: "Saya tidak pernah melihat kebencian seperti ini dalam karier saya -- saya terkilan."
Dortmund kemudian mengeluarkan permohonan maaf terhadap tingkah laku penyokongnya dan berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk membantu pihak polis menjalankan tugas.
"Kami di Borussia Dortmund kecewa dengan apa yang berlaku, terutama apa yang menimpa penyokong Leipzig."