Skip to main content

Bola Sepak

Dimitri percaturan berbaloi buat Jacob

jacob-josephea48c40a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Biarpun hanya beraksi selama 55 minit, ia sudah mencukupi buat Bodric Dimitri menjadi inspirasi kepada MISC-MIFA untuk meraih kemenangan 5-3 ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam saingan Liga Perdana, semalam.

Lebih bermakna, ia merupakan kemenangan pertama buat skuad kendalian Jacob Joseph musim ini selepas gagal mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan terdahulu.

Selepas ketinggalan dua gol, percaturan Jacob memasukkan Dimitri nyata bermanfaat besar apabila pemain itu menyumbang empat gol buat pasukannya.

Kehadiran Dimitri memberikan banyak masalah kepada benteng JDT II dan dia muncul wira pasukan dengan kebanyakan gol berpunca daripada situasi serangan balas.

"Selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut, kami enggan tewas lagi apatah lagi beraksi di laman sendiri kali ini.

"Tidak kira apa yang berlaku, kami turun beraksi dengan cuba mengikut taktikal yang diterapkan jurulatih," jelas Dimitri.

Sementara itu, Jacob mengakui tidak merancang menurunkan Dimitri pada babak pertama, namun terdesak setelah ketinggalan 2-0.

"Saya bercadang untuk tunggu babak kedua sebelum menurunkannya tetapi ketinggalan dua gol memaksa saya membuat keputusan lebih awal.

"Keputusan itu jelas membuahkan hasil," ujarnya.

Bagi jurulatih JDT II, Mohd. Hamzani Omar, dia terpaksa menerima kepincangan di bahagian pertahanan menjadi punca utama kekalahan pasukannya.

Seperti ada yang tidak kena, dia berharap mampu memperbaiki kelemahan itu sebelum aksi pusingan kedua Piala FA menentang Pahang, Selasa ini.

"Itulah kelemahan kami, kesilapan ketara daripada barisan pertahanan. Kami perlu memperbaiki kepincangan itu sebelum aksi berdepan Pahang," kata Hamzani.

Advertisement

Must Watch Video