Skip to main content

Bola Sepak

Di Maria, Cavani sambut hari jadi dengan gaya luar biasa

birthday-boy-cavani-revels-in-special-victory.jpg
Wira Paris Saint-Germain (PSG), Angel Di Maria, menghamburkan pujian terhadap persembahan pasukannya selepas dua gol sumbangannya membantu tuan rumah membelasah Barcelona 4-0 dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara. 

Tonggak antarabangsa Argentina itu meledak gol pertama menerusi sepakan percuma pada minit ke-18 dan sejak itu, tidak menoleh ke belakang lagi untuk mendapatkan bekalan selesa. 

Pemain sayap lincah, Julian Draxler, dan penyerang terbanyak, Edinson Cavani -- yang meraikan hari jadi yang ke-30 -- turut muncul sebagai penjaring di Parc des Princes.

"Kami tidak dapat membayangkan keputusan yang lebih baik lagi," kata Di Maria yang menyambut ulang tahunnya yang ke-29 dengan pencapaian yang tidak akan dilupakan. 

"Untuk menang 4-0 ke atas Barcelona pada hari jadi saya adalah menakjubkan. Ia perlawanan yang sempurna. 

"Untuk menang, kami perlu mempamerkan aksi seperti hari ini. Namun, kami sedar mereka juga mampu menjaringkan gol."

Selain Di Maria, Cavani yang berada di kemuncak prestasinya ketika ini turut menyambut hari kelahirannya dengan bergaya dan dalam masa yang sama, memberi amaran mereka tidak boleh hilang fokus dalam kempen domestik. 

"Dalam tempoh empat tahun saya di Paris, kami telah mengharungi banyak perlawanan hebat tapi kejayaan hari ini lebih istimewa kerana ia juga tarikh yang cukup bermakna untuk saya," katanya kepada beIN Sports. 

"Kami semua sangat gembira. Kami telah melakukan kerja dengan cukup baik.

"Buat masa ini, kami tidak memikirkan perlawanan timbal balik. Kami perlu fokus dengan kempen liga dan piala domestik yang juga amat penting.

"Adalah penting untuk kami membuat persediaan menghadapi Barcelona kerana bola sepak adalah indah kerana tiada siapa yang dapat meramalkan apa yang akan berlaku."
 

Advertisement

Must Watch Video