Skip to main content

Bola Sepak

David pertaruh misi tiga mata Sarawak di Stadium Batu Kawan

sarawakad49c40a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Sedar akan pasukan Pulau Pinang turut dahagakan kemenangan, malam ini pasti akan menjadi malam yang sukar bagi Sarawak.

Tetapi bagi pengendalinya, David Usop, biar sesukar mana pun, misi tiga mata malam ini perlu dilunaskan.

"Malam ini tiada pilihan. Kami perlukan kemenangan sulung. Dan untuk menjayakannya, kami perlu bermain mati-matian," katanya.

Perjuangan tiga mata Sarawak pada malam ini seharusnya menjadi titik kebangkitan pasukan itu yang sebelum ini diikat T-Team dan ditumpaskan Kedah dan Pahang.

"Rekod itu tidak menggusarkan saya kerana dalam ketiga-tiga pertemuan, anak-anak buah saya telah menunjukkan kebangkitan yang drastik.

"Malah, aksi menentang Pahang di Stadium Negeri pada minggu lalu juga menunjukkan harapan positif bahawa pasukan ini boleh melangkah lebih jauh."

Malam ini, kata David, beliau buat pertama kalinya akan menurunkan Mateo Roskam dan berharap penyerang Croatia itu dapat memberikan persembahan terbaik.

"Kami amat memerlukan sentuhannya di sisi Mark Hartmann bagi memperkukuh jentera serangan.

"Dan saya harap malam ini dia membuktikan bahawa pelaburan dan percaturan kami tidak silap," katanya lagi.

David tidak dapat menurunkan 'supersub', Nur Syahmie Iszuan, kerana cedera.

"Ia bagaimanapun tidak menggusarkan saya kerana Abdul Rahim Razak boleh menggalas peranan itu bersama Tommy (Mawat Bada).

"Juga kami ada Ramles Lai Ban Huat yang 'panas punggung' untuk beraksi setelah sekian lama direhatkan," tambahnya.

Ramles katanya, merupakan pemain berpengalaman dan kehadirannya amat penting dalam merencana serangan selain memperkukuh kubu.

"Kemenangan amat perlu kerana dengan tiga mata itulah kami akan menapak ke satu tahap baharu dan mengukuhkan moral pasukan," katanya lagi.

 

Advertisement

Must Watch Video