LIGA SUPER MSIA
Danso puji pemain muda Red Warriors
Kapten Kelantan, Mamadou Danso, menghamburkan pujian kepada barisan pemain muda yang semakin mempamerkan kematangan selepas berjaya mengikat Felda United 1-1 dalam aksi Liga Super, malam tadi.
"Kami memiliki ramai pemain muda dalam pasukan ini. Jadi, mereka sedar kepentingan perlawanan ini. Mereka bermain sepenuh hati.
"Kami perlu memastikan senario ini berterusan dalam baki tiga perlawanan bagi memastikan moral pasukan berada di tahap yang tinggi," katanya.
Iklan
Apa yang diperkatakan pemain dari Gambia ini jelas menjadi kunci di sebalik kejayaan mengikat Felda United 1-1 di laman sendiri biarpun tanpa ramai pemain utama.
Bagaimanapun, pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, masih belum berpuas hati dengan keputusan itu sambil menyifatkan aspek penyudah perlu diperbaiki.
"Keputusan ini boleh dikatakan adil tetapi kami sepatutnya menang kerana kami memiliki lebih banyak peluang," ujarnya.
Sementara itu, pengendali Felda, B. Satianathan, mengkritik mutu padang di Stadium Sultan Muhammad IV yang menjejaskan rentak kedua-dua pasukan.
Dia juga secara sinis mengakui sudah faham mengapa Kelantan kerap kali tewas tiap kali bermain di laman sendiri.
"Pemain saya sudah mengkritik keadaan padang sebelum perlawanan bermula lagi.
"Bukan apa, isu ini bukan satu masalah kepada saya kerana saya menduduki tempat keempat liga. Tetapi sayang, Kelantan memiliki pemain yang bagus tetapi keadaan padang tidak sesuai dengan corak pemain mereka," jelasnya.
Must-Watch Video