Skip to main content

Bola Sepak

Dalmas: Pengalaman jadi pemisah Malaysia, Kemboja

mas-kem.jpg
Kualiti kematangan pemain dilihat menjadi faktor kemenangan 1-0 Kemboja ke atas Malaysia dalam aksi Kumpulan B, Kejohanan AFF B-22 2019, semalam.

Itu pandangan ketua jurulatih Kemboja dari Perancis, Felix Dalmas, susulan kemenangan yang meletakkan pasukan tuan rumah itu sebagai peneraju Kumpulan B.

Dia yang turut mengendalikan skuad senior bijak memanfaatkan kelebihan pengalaman pemain seperti pertahanan, Cheng Meng, dan penyerang, Brak Thiva, yang merupakan sebahagian daripada skuad Piala Suzuki AFF 2018.

"Kami mencipta banyak peluang, begitu juga Malaysia. Namun, kebiasaannya pasukan lebih berpengalaman akan menang. Saya gembira meraih keputusan ini. Pemain menjalankan tugas dengan baik walaupun Malaysia cuba memburu gol penyamaan sehingga wisel penamat," kata Dalmas.

Sementara itu, pengendali Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, mengakui dia sama sekali tidak menyangka mereka dihidangkan dua tamparan hebat dalam jarak masa yang begitu hampir.

Selepas Danial Hakim Draman dilayangkan kad merah pada minit ke-59, Kemboja meraih jaringan tunggal perlawanan, sekali gus membuat skuad negara berputih mata dalam aksi pertama.

"Sudah tentu ia bukan keputusan yang baik dan kami tidak bermain dengan bagus. Tahniah buat Kemboja yang bermain cemerlang dan menyukarkan tugas kami.

"Terdapat beberapa aspek perlu difikirkan seperti beberapa keputusan pengadil perlawanan tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan," ujar Kim Swee.
 

Advertisement

Must Watch Video