Skip to main content

Bola Sepak

Conte kekal komited bersama Chelsea

antonioconte-cropped_94920s8ebadh1q8jesirewz86.jpg
Antonio Conte menegaskan dia kekal komited dengan Chelsea meskipun spekulasi mengenai kedudukannya bersama penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu masih menjadi tanda tanya.

Conte menandatangani kontrak dua tahun, Julai lalu, selepas membawa Chelsea menjuarai liga dalam musim pertamanya tetapi pengendali Itali itu dikhabarkan tidak berpuas hati dengan urus niaga perpindahan pemain.

Chelsea menandatangani Alvaro Morata selepas gagal mendapatkan khidmat Romelu Lukaku yang memilih ke Manchester United di samping turut kehilangan khidmat pemain tengah, Nemanja Matic, yang turut ikut ke Old Trafford.

Setakat ini, Conte  berjaya membawa masuk pertahanan, Antonio Rudiger, dan pemain tengah, Tiemoue Bakayoko.

Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan pemain bakal ditutup pada Khamis, Conte akan memberi fokus terhadap pemain sedia ada seandainya tiada muka baharu.

"Mesej saya kepada penyokong tetap sama: Saya kekal komited dengan kelab ini dan akan terus memperbaiki pemain," kata Conte.

"Saya seorang jurulatih, bukannya pengurus dan tugas terbaik saya adalah membentuk pasukan terbaik. Jika saya mahu memperkuatkan pasukan, saya akan menyuarakan pendapat saya dan menyerahkan tugas pelaksanaan kepada kelab.

"Kadang-kala ia menjadi, kadang-kala tidak. Apa pun, penting untuk terus bekerjasama dengan pemain sedia ada.

"Jangan lupa, bermula September, kami perlu menempuh tujuh perlawanan dalam masa sebulan.

"Kelab ini sedang bekerja keras untuk memperkuatkan pasukan. Tetapi seperti saya katakan, saya bersedia bekerjasama dengan pemain sedia ada."

Antonio Candreva, Alex Sandro, Alex Oxlade-Chamberlain, Andrea Belotti, Fernando Llorente, Jamie Vardy dan Danny Drinkwater adalah antara pemain yang telah dikaitkan dengan perpindahan ke Stamford Bridge.

Advertisement

Must Watch Video