Skip to main content

Bola Sepak

Cheryshev, Gameiro selamatkan Valencia

joaquin.jpg
REAL BETIS 2 VALENCIA 2

Kevin Gameiro memastikan kebangkitan lewat Valencia ketika pasukan itu mengikat Real Betis 2-2 dalam separuh akhir pertama Copa del Rey di Stadium Benito Villamarin, Sevilla, awal pagi tadi.


Loren Moron meletakkan Betis di depan dalam babak pertama dan tugas Valencia semakin sukar dalam babak berikutnya apabila penjaga gol, Jaume Domenech, membenarkan pemain sayap veteran skuad Los Verdiblancos, Joaquin, menjaringkan gol secara terus daripada sepakan penjuru.

Ketua jurulatih Valencia, Marcelino, bingkas mengubah strategi dengan memasukkan Gameiro dan penyerang kelahiran Perancis itu menghasilkan hantaran lintang yang disudahkan Denis Cheryshev untuk pasukan itu kembali bersaing pada penghujung aksi.

Dalam waktu kecederaan, Gameiro menolak masuk gol kedua Valencia selepas menerima hantaran 'cutback' daripada Rodrigo Moreno.

Dalam perlawanan awal pagi tadi, jentera pertahanan Betis bergelut untuk menyesuaikan diri selepas Marc Bartra terpaksa dikeluarkan pada awal permainan akibat kecederaan.

Junior Firpo terpaksa menjatuhkan Rodrigo sebelum sepakan percuma yang diambil Dani Perejo terbias ke belakang.

Di sebalik penguasaan tuan rumah, Valencia memperoleh peluang terbuka apabila hantaran terus daripada Carlos Soler dirembat kencang Rodrigo, namun tindakan tangkas Joel Robles berjaya menyelamatkan gawangnya.

Tandukan Santi Mina kemudian terkena palang gol, namun Betis hampir membuka tirai jaringan pada minit-34 apabila sepakan voli Andres Guardado melambung tinggi melewati palang gol.

Sergio Canales menghasilkan hantaran lintang menarik pada penghujung separuh masa pertama yang kemudian mudah ditolak masuk Loren.

Pengganti Bartra, Javi Garcia, hampir terjaring gol ke gawang sendiri pada permulaan babak pertama, namun deretan percubaan yang dimiliki menyaksikan Betis menjaringkan gol kedua tidak lama selepas itu.

Tindakan William Carvalho membantah keputusan pengadil pada minit ke-54 jelas sia-sia apabila ulang tayang menunjukkan sepakan penjuru Joaquin yang ditolak keluar Domenech sudah pun melepasi garisan gol.  

Kemasukan Gameiro pada minit ke-58 jelas memberikan impak buat Valencia apabila pemain itu menyungkit bola ke arah 'near post' yang kemudian disudahkan Cheryshev.

Gameiro kemudian menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan untuk memastikan pasukan lawan yang dikendalikan Quique Setien itu tidak akan membawa kelebihan jaringan menjelang aksi timbal balik di Valencia, awal bulan depan.

Advertisement

Must Watch Video