Skip to main content

Bola Sepak

Cheng Hoe: Banyak faktor menarik untuk Lang Merah jumpa Tok Gajah

tan-cheng-hoe.jpg
Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, memberi isyarat Lang Merah sudah bersedia sepenuhnya menentang pendahulu Liga Super, Pahang, dalam aksi menarik di Stadium Darul Aman, malam esok.

“Banyak faktor yang membuatkan kami teruja untuk menentang pendahulu Liga Super buat masa ini, Pahang.

"Antaranya, kemenangan akan membolehkan Kedah kekal berada dalam kelompok pasukan terbaik buat masa ini. 

“Pemain juga sangat bermotivasi dan ghairah untuk mempamerkan aksi lebih baik di gelanggang sendiri biarpun menyedari skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh kini dipenuhi pemain tempatan dan import yang cukup hebat,” katanya.

Cheng Hoe juga menyifatkan semua pemain utamanya bebas kecederaan dan kad amaran sebagai  berita baik yang mampu menambah motivasi pasukan menjelang pertemuan yang dijangka cukup menarik.

“Berita baik untuk pasukan apabila semua pemain utama disahkan cergas sepenuhnya selepas mengharungi perlawanan sukar menentang Felda United.

"Selain itu, pemain juga bebas daripada layangan kad dan semua ini menjadi faktor terbaik untuk kami beraksi lebih baik di gelangang keramat, Stadium Darulaman,” katanya. 

Cheng Hoe, yang dipilih sebagai jurulatih terbaik musim lalu, memberi bayangan akan mengekalkan kesebelasan utama yang turun menentang Felda United minggu lepas, namun segalanya bergantung kepada prestasi semasa pemain.

“Mungkin kami akan kekalkan kesebelasan utama yang beraksi cukup baik menentang Felda United minggu lepas. 

"Namun, prestasi semasa pemain dalam sesi latihan menjadi faktor utama.

“Saya ingin mengajak semua penyokong turun beramai-ramai ke Darulaman untuk perlawanan yang menarik ini,” katanya.

Advertisement

Must Watch Video