LIGA SUPER MSIA
Cheng Hoe akui Kedah terdesak cari kemenangan
Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mengakui pasukannya terdesak mahu mencari kemenangan ke atas Perak selepas kecewa dalam dua perlawanan liga dan saingan Piala FA sebelum ini.
Cheng Hoe mahu menghasilkan penutup yang sempurna bagi pusingan pertama Liga Super, apatah lagi dua aksi lalu gagal memberi kepuasan buatnya dan pasukan.
Kedah mahu menafikan kelebihan Perak walaupun mereka beraksi di laman sendiri selain pengendali kelahiran Kedah ini turut membayangkan aksi yang menarik di Stadium Perak, malam ini.
Iklan
"Ini merupakan perlawanan yang terakhir buat pusingan pertama saingan Liga Super, kami tidak boleh kehilangan mata dan perlu menghasilkan keputusan yang positif," kata Cheng Hoe.
Kembalinya Liridon Krasniqi benar-benar melegakan Cheng Hoe yang dalam masa sama menyedari barisan pemain Mehmet Durakovic sudah pasti ada perancangan ke atas ayam tambatan Kedah itu.
"Seperti sebelum ini, setiap pasukan lawan akan cuba mengawal ketat pergerakan Liridon, saya berharap dia dapat mencari rentak permainannya untuk perlawanan malam ini."
Cheng Hoe menyifatkan Kedah turun dengan kekuatan terbaik yang dimiliki mereka, dengan mengharapkan empat pemain importnya beraksi cemerlang bersama dengan pemain tempatan yang lain.
Must-Watch Video