Skip to main content

Bola Sepak

Bennett sesal cederakan Sane

leroysane-cropped_ksw26y84bwrn1sxxx6alt985k.jpg
Pemain pertahanan Cardiff City, Joe Bennett, memohon maaf kerana mencederakan pemain bintang Manchester City, Leroy Sane, dalam pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi.

Skuad Pep Guardiola itu meraih kemenangan 2-0 menerusi gol daripada Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling walaupun mereka terpaksa bermain separuh masa kedua tanpa pemain sayap Jerman itu.

Bennett membuat terjahan buruk dengan menggunakan tapak kasut ke atas buku lali pemain 22 tahun itu.

Sane akan menjalani imbasan esok tetapi pengurus, Guardiola, memberitahu wartawan bahawa dia menjangkakan kehilangan pemain itu untuk tempoh sekitar dua dan empat minggu ketika pasukannya memasuki tahap penting memburu banyak kejuaraan.

Kekasaran lain terhadap pemain gantian muda, Brahim Diaz, menyaksikan Bennett menerima kad kuning kedua pada hujung perlawanan, dengan bos Cardiff, Neil Warnock, menuduh bekas pemain Aston Villa itu bersikap tidak profesional dan berjanji memberikan hukuman latihan tambahan.

Bennett tidak menyebut kekasaran terhadap Brahim dalam tulisannya di Twitter walaupun menyuarakan rasa kesal mengenai insiden ke atas Sane.

"Saya memohon maaf kepada Leroy Sane untuk terjahan saya hari ini," katanya. "Saya cuba mengekang serangan balas dan saya benar-benar membuat silap.

"Saya tidak berniat mencabarnya seperti itu, saya harap ia tidak serius dan dia pulih dengan cepat."

Advertisement

Must Watch Video