BUNDESLIGA
Bayern lega Ulreich elak kecederaan serius
Bayern Munich menarik nafas lega sebaik mengetahui tahap kecederaan penjaga gawang, Sven Ulreich, tidaklah seburuk yang disangka apabila jari tengah tangan kirinya terseliuh.
Ulreich telah diturunkan dalam 12 perlawanan Bundesliga bersama Bayern musim ini untuk mengambil tempat Manuel Neuer yang berehat panjang akibat kecederaan kaki.
Pemain berusia 29 tahun itu gagal menghabiskan sesi latihan semalam sehingga timbul cadangan untuk mengetengahkan jurulatih akademi, Tom Starke, dalam perlawanan seterusnya membabitkan aksi Bundesliga dengan Bayer Leverkusen, 12 Januari ini.
Iklan
Bagaimanapun, gergasi Bavaria itu segera memberi jaminan kepada penyokong bahawa kecederaan Ulreich tidaklah begitu teruk seperti jangkaan awal.
"Jari penjaga gol itu hanya terseliuh," kata Bayern dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang mereka.
"Dia akan kembali berlatih, bergantung kepada situasi jarinya yang bengkak. Ketiadaannya dalam jangka panjang tidak perlu dikhuatiri."
Dalam perkembangan berasingan, Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic, mengesahkan Bayern berminat untuk memancing pemain tengah Schalke, Leon Goretzka.
Must-Watch Video