Skip to main content

Bola Sepak

Barca sedia perkasakan pasukan

mascherano.jpg
Ernesto Valverde bersikap terbuka terhadap sebarang kemungkinan untuk Barcelona merekrut pemain baru dalam jendela perpindahan bulan ini.

Dengan Arda Turan dan Javier Mascherano masing-masing meninggalkan Camp Nou untuk ke Istanbul Basaksehir dan Hebei China Fortune, maka Barca telah mendapatkan dua pengganti.

Ketibaan Philippe Coutinho dari Liverpool memecahkan rekod perpindahan kelab itu sementara Yerry Mina dibawa dari Palmeiras untuk meningkatkan pilihan pertahanan Barca.

Tatkala Valverde tidak menolak lebih ramai wajah baru akan dibawa masuk, jurulatih itu mengakui lebih banyak aktiviti perpindahan akan berlaku pada minggu terakhir jendela perpindahan.

"Saya gembira dengan pasukan sedia ada tetapi pasaran perpindahan belum berakhir," kata Valverde. "Bukan hanya kami, malah untuk pasukan, perkara boleh berubah.

"Saya tidak tahu apa yang akan terjadi di antara sekarang dan tarikh akhir perpindahan tetapi secara dasarnya, saya gembira dengan skuad yang sedia ada. 

"Dengan Yerry Mina, kami mahu dia membantu kami musim ini dan dia boleh menyertai skuad ini serta-merta. Kami mempertimbangkannya, kami mahu dia mendapat keyakinan kerana kami masih agak risau untuk melihat apa yang boleh ditawarkannya. Dia perlu meluangkan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan kami."

Tuan rumah, Barca, akan turun dengan misi memadam defisit gol yang dimiliki seteru Catalan, Espanyol, dalam pertemuan separuh akhir kedua Copa del Rey awal pagi esok setelah tumbang 1-0 dalam aksi terdahulu.

Dan dengan Barcelona berusaha untuk mempertahankan gelaran yang mereka raih itu dalam tiga musim terakhir, Valverde percaya pasukannya akan memadamkan jurang tipis itu. 

"Saya selalu melihat pertemuan 'derby' ini sesuatu yang istimewa," kata Valverde kepada pemberita.

"Hakikatnya, kami tewas dalam aksi pertama di sana dan ini bermakna kami mungkin lebih bermotivasi.

"Permainan ini sentiasa menjadi perhatian kedua-dua pasukan. Ia adalah pertembungan yang sukar di mana sahaja ia dimainkan dan pada bila-bila masa. Ia adalah persaingan yang mencetuskan ketegangan dan anda boleh saksikannya.

"Matlamat kami adalah untuk menampilkan aksi yang akan membawa kami ke pusingan seterusnya. Kami adalah Barca, kami mahu memenangi setiap perlawanan dan setiap pertandingan.

"Copa del Rey adalah saingan yang memotivasikan kami. Aksi ini paling penting ketika ini. Saya tidak ragu-ragu untuk melakukannya," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video