Skip to main content

Bola Sepak

Bale 'BBC' terakhir raih jaringan ke-100 buat Madrid

gareth-bale-cristiano-ronaldo.jpg
Gareth Bale menjaringkan golnya yang ke-100 buat Real Madrid dalam kesemua kejohanan ketika membantu kemenangan 3-1 pasukannya ke atas Atletico Madrid dalam saingan LaLiga di Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Bintang Wales itu memerlukan waktu yang lebih panjang untuk mencapai tahap tersebut berbanding Cristano Ronaldo dan Karim Benzema.

Ia merupakan penampilannya yang ke-217 buat Madrid sejak menyertai pasukan itu dengan perpindahan bernilai €100 juta (RM461.4 juta) daripada Tottenham Hotspur pada 2013.

Penyerang berusia 29 tahun itu pernah membentuk rangkaian penyerang yang cukup digeruni bersama Ronaldo dan Benzema yang turut digelar trio "BBC" ketika membantu Madrid meraih 12 kejuaraan utama, termasuk empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, selama lima musim sebelum Ronaldo berhijrah ke Juventus tahun lalu.

Ronaldo, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Madrid dengan 450 gol, hanya memerlukan 105 penampilan untuk melengkapkan 100 jaringannya dengan skuad Los Blancos itu.

Benzema pula meraih golnya yang ke-100 dalam penampilannya yang ke-210 untuk membuktikan rekodnya sedikit lebih baik berbanding Bale.

Bale menjaringkan 75 gol dalam saingan LaLiga, 16 dalam Liga Juara-Juara Eropah, enam dalam Piala Dunia Kelab dan dua gol dalam Copa del Rey, termasuk satu yang paling diingati ketika dia menjaringkan jaringan solo ketika menewaskan Barcelona pada 2014.

Benzema, Ronaldo, Isco dan Toni Kroos masing-masing telah melakukan sembilan bantuan jaringan buat Bale.

Sebanyak 13 daripada jaringannya itu terhasil dari luar kotak penalti, empat daripadanya melalui sepakan percuma dan tiga lagi menerusi sepakan penalti.

Advertisement

Must Watch Video