Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, menegaskan dia tidak akan merehatkan penyerang, Pierre-Emerick Aubameyang.
Pemain antarabangsa Gabon itu dikeluarkan pada minit ke-62 dalam kekalahan 1-0 kepada Benfica dalam aksi pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu, selepas gagal menyudahkan dua peluang keemasan di samping gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Aubameyang, yang hanya meledak satu gol selepas lima penampilan, mengakui selepas perlawanan itu bahawa dia berasa keletihan.
Tuchel, bagaimanapun, berpendapat ini bukan masa sesuai untuk merehatkan pemain itu dan berharap Aubameyang akan meledak gol berdepan Wolfsburg, malam ini.
"Kami mengambil masa lama memikirkan sama ada untuk merehatkan dia berdepan Darmstadt minggu lalu," Tuchel bercakap dalam sidang media.
"Kami akan melakukan keputusan yang salah jika merehatkan dia. Dia 100 peratus cergas.
"Penting untuk Auba beraksi pada Sabtu (malam ini) dan bermain selama mungkin."