Skip to main content

Bola Sepak

Arif mahu jadi tembok kebal

abdul-arif-abdullah.jpg
Biarpun berdepan tekanan, penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Abdul Arif Abdullah, tetap yakin mampu menjadi tembok kebal kepada barisan penyerang Sabah dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Arif, yang juga bekas penjaga gol kelab Liga Thailand, Yala United FC, berharap dapat mengulangi aksi cemerlangnya di Selayang dalam usahanya untuk membantu TRW memburu kemenangan pertama di bawah kendalian Marko Kraljevic.

"Kami perlu mengambil peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk mencatat kemenangan pertama.

"Saya berharap benteng pasukan akan kekal fokus dan bersedia untuk menghalang jentera serangan Sabah daripada bergerak bebas dalam kawasan penalti kami.

"Kami memburu kemenangan pertama di gelanggang sendiri dan saya mahu menjaga gawang TRW dengan sebaik mungkin," katanya.

Ditanya mengenai kombinasi pertahanan yang diketuai kapten pasukan, Cassio De Jesus, Arif menyifatkan mereka saling berkomunikasi dan berusaha untuk menutup ruang agar tidak ditembusi penyerang lawan.

"Kami perlu berkomunikasi dan saling mengingati antara satu sama lain. 

"Kami perlu mengurangkan kesilapan mudah dan sentiasa mengawasi jentera serangan lawan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Arif mengalu-alukan kehadiran penjaga gol skuad B-22 kebangsaan, Damien Lim Chien Khai, dalam keluarga TRW.

"Saya tidak melihatnya sebagai persaingan tetapi rakan yang akan sama-sama berjuang untuk kemenangan TRW," katanya.

Advertisement

Must Watch Video