Skip to main content

Bola Sepak

Anak buah Hodak bakal hadapi Piala Sanix

malaysiab-19_81117.jpg
Skuad B-19 negara kendalian Bojan Hodak akan beraksi dalam Kejohanan Jemputan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, Mac depan sebagai persiapan fasa pertama menghadapi Kejohanan AFC B-19, Oktober depan. 

Hodak akan mengadakan lathan pusat selama dua minggu bermula Isnin depan sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Sanix. 

Ia juga bagi memantau tahap kecergasan serta prestasi pemain pada awal musim ini. 

"Ada sesetengah pemain, saya tidak dapat menyenaraikan mereka dalam pusingan kelayakan di Korea Selatan sebelum ini kerana terikat dengan peperiksaan akhir tahun.

"Sebilangan mereka bakal dipanggil buat kali pertama, maka mereka perlu menyesuaikan diri dengan taktikal, permainan dan teknik pasukan ini," katanya menjelang pusingan akhir di Indonesia nanti. 

Dalam latihan pusat kali ini, barisan muda negara akan beraksi dalam tiga aksi persahabatan berdepan pasukan Liga Malaysia (Liga M) minggu depan.

Sesi latihan kali ini berlangsung tanpa kelibat Hadi Fayyadh Abdul Razak, Akhyar Rashid, A. Shivan Pillay dan Nik Akif Syahiran Nik Mat yang sedang mengharungi Kejohanan AFC B-23 di China.

Hodak berharap empat pemain tonggak itu meraih seberapa banyak pengalaman bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee  ketika ini. 

"Beberapa pemain dalam skuad B-23 mungkin jarang diturunkan, ia adalah normal memandangkan usia mereka yang lebih muda berbanding rakan-rakan yang lain. Namun, pemain lebih muda seperti Akhyar, apabila dimasukkan, berjaya mengubah sedikit rentak permainan. 

"Oleh itu, ia adalah pengalaman yang bagus untuk mereka menghadapi pemain yang lebih pantas dan mantap. Saya harap ia dapat membantu mereka untuk segera menyesuaikan diri nanti," kata jurulatih dari Croatia itu. 

Advertisement

Must Watch Video