Skip to main content

Bola Sepak

Allegri minat kekal di Juve di sebalik desas-desus ke Arsenal

juventus.jpg
NAPOLI 3 JUVENTUS 2
(Juventus mara dengan agregat 5-4)

Massimiliano Allegri mengesahkan dia merancang untuk kekal di Juventus, seolah-olah mahu menamatkan spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Arsenal.


Allegri, yang telah memenangi dua gelaran Serie A dan Coppa Italia dalam setiap dua musim di Juve, semakin hangat dikaitkan sebagai calon utama untuk menggantikan Arsene Wenger sekiranya pengurus berbangsa Perancis itu meninggalkan Stadium Emirates sebaik kontraknya luput pada penghujung musim ini.

Tetapi, selepas melihat Juve kekal di landasan yang betul untuk merebut tiga gelaran dengan menyingkirkan Napoli 5-4 menerusi agregat dalam saingan separuh akhir Coppa Italia di Stadio San Paolo, awal pagi tadi, Allegri komited mengenai masa depannya bersama kelab Itali itu.

"Saya berniat untuk terus bersama Juventus kerana saya amat gembira di sini," kata Allegri selepas pasukannya tewas 3-2.

"Saya belum pernah bertemu dengan Arsenal lagi kerana ada keutamaan yang lain, namun kami akan duduk dan menilai sesuatu selepas ini. 

"Pasukan ini mempunyai potensi yang besar dengan campuran pemain berpengalaman dan muda. Juventus adalah kelab peringkat tertinggi dan terdapat hanya beberapa kelab di luar sana yang boleh dianggap lebih baik."

Juve bergelut untuk mengekang Napoli sungguhpun Gonzalo Higuain menjaringkan dua gol ketika menentang bekas kelabnya itu tetapi Allegri menegaskan dia tidak gusar dengan prestasi pasukannya.

"Ia keputusan yang baik, terutama selepas dua perlawanan yang sangat sukar," kata Allegri. "Kami bermain lebih baik berbanding pada Ahad lalu (seri 1-1 dengan Napoli dalam aksi Serie A), kemudian membuat tugas kami menjadi rumit ekoran kesilapan (penjaga gol, Neto) ketika diikat 2-2.

"Kami tidak mempunyai kekuatan untuk memberi tekanan di bahagian hadapan lagi dan saya tidak mempunyai pengganti sesuai tetapi secara keseluruhan, ia adalah persembahan yang baik dan kami mengambil beberapa risiko setelah ketinggalan 3-2.

"Ia perlawanan yang boleh kami menangi tetapi objektifnya adalah untuk mara ke perlawanan akhir.

"Higuain memainkan peranan dengan baik semasa perlawanan antarabangsa dan anda dapat melihat dia bekerja keras dalam latihan kerana dia kelihatan benar-benar tajam di depan gol. 

"Secara keseluruhan, ia adalah prestasi yang baik dan saya tidak bimbang kerana kamilah yang membenarkan Napoli untuk bangkit."

Advertisement

Must Watch Video