Skip to main content

Bola Sepak

AFC B-23: Skuad negara buat Taeguk Warriors mandi peluh

malaysia-b-23_3.jpg
KOREA SELATAN 2 MALAYSIA 1

Malaysia tidak memberi laluan mudah kepada Korea Selatan sebelum terpaksa akur pengembaraan dalam Kejohanan AFC B-23 berakhir dengan keputusan tipis, 2-1, di Stadium Kunshan, China, sebentar tadi. 


Turun dengan status naib juara edisi dua tahun lalu, Korea berada di hadapan menerusi sentuhan Cho Jae-wan ketika permainan baru berusia 15 saat. 

Situasi itu bagaimanapun tidak mencerminkan tempo sebenar permainan, begitupun Malaysia hanya mula selesa mengimbangi rentak selepas melewati minit ke-30.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee mula menguji pintu gol lawan menerusi rembatan liar Safawi Rasid dari luar kotak penalti.

Aksi rancak disajikan kedua-dua pasukan sejurus permainan bersambung.

Korea hampir menghukum kealpaan barisan pertahanan sebelum gerakan itu dipatahkan Matthew Davies.

Namun, Malaysia juga tidak kurang hebatnya dalam mengatur asakan yang menyaksikan ketua pasukan negara, Adam Nor Azlin, memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, begitupun sepakan lambungnya dari jarak dekat itu tersasar tinggi sebelum beberapa minit kemudian, Safawi -- penjaring dua gol -- berjaya menyambut umpanan Nik Akif Nik Mat sehingga memerlukan Kang Hyeon-mu untuk menepisnya keluar. 

Kim Swee membuat pertukaran pertama dengan memasukkan N. Thanabalan untuk menggantikan Nik Akif. 

Sedar anak buahnya memiliki peluang, Kim Swee terus merombak bahagian serangan Malaysia dan kali ini mengeluarkan penyerang lincah, Akhyar Rashid, bagi memberi laluan kepada Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Usaha itu berhasil apabila Malaysia mengikat kedudukan dengan tandukan Thanabalan yang berjaya mengegar jaring lawan pada minit ke-65. 

Kedudukan itu memaksa Korea meningkatkan serangan, mujur Haziq Nadzli cekap dalam tugasannya termasuk cemerlang menutup ruang buat Lee Keun-ho (m-76). 

Begitupun, kelincahan pemain tengah, Han Seung-gyu, yang berjaya menyusup ke tengah pintu gol negara sebelum melepaskan rembatan rendah untuk menewaskan Haziq, seterusnya menamatkan perjuangan skuad B-23 negara dalam kempen kali ini. 

"Kami berasa agak kecewa juga tetapi kami telah menunjukkan semangat juang.  Kami berjaya menyaingi mereka sehinggalah dibolosi minit-minit akhir," kata Thanabalan. 

Sementara itu, Safawi menganggap tuah tidak memihak kepada Malaysia dengan berkata: "Kami mampu kawal permainan dan cuma tidak bernasib baik hari ini." 

Advertisement

Must Watch Video