Skip to main content

Bola Sepak

AFC B-23: Padah jika terus dibuai perasaan -- Kim Swee

ong-kim-swee_5.jpg
Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menyuarakan keyakinan bahawa anak buahnya mampu menghadirkan tentangan sengit menentang naib juara 2016, Korea Selatan, namun dengan syarat pemain tidak lagi dibuai mimpi indah dengan kejayaan layak ke suku akhir. 

Selepas tiga perlawanan Kumpulan C -- masing-masing menang, seri dan kalah sekali -- Kim Swee mendedahkan bahawa dia tidak gentar untuk merombak pendekatan pasukannya. 

"Kami terpaksa mengubah taktikal setiap perlawanan. Ia bukan mengubah secara keseluruhan tetapi mengikut kekuatan lawan.

"Kami sedar walaupun layak, ia bukan bermakna kami telah mencapai segala prestasi yang memuaskan. 

"Secara realistik, mereka berada di tahap berlainan. Dengan corak permainan yang kami tunjukkan, ia membuktikan kami mampu memberi saingan yang lebih sengit dengan syarat pemain harus kekal fokus dan mereka perlu ada sikap tidak puas hati.

"Ini penting, jika kami hilang fokus dengan meraikan kejayaan ke peringkat suku akhir, sudah tentu kami akan menerima padah," katanya. 

Mengenai pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Irfan Zakaria, Dominic Tan dan Syazwan Andik Ishak, yang menanggung sedikit kecederaan, Kim Swee berkata:  "Saya mempunyai dua hari lagi sebelum menentang Korea Selatan. 

"Saya bukan sahaja melihat daripada segi kecederaan, malah faktor kepenatan, terutama pemain-pemain yang beraksi tiga perlawanan berturut-turut. 

"Jika saya perlu mengubah posisi atau menggantikan pemain, saya tidak nampak ia satu halangan besar. 

"Pemain-pemain di China ini mampu menggalas cabaran atau menggantikan pemain yang tidak boleh beraksi," kata Kim Swee lagi. 

Sementara itu, pertahanan negara, Syazwan Andik, tampak enggan melepaskan peluang beraksi pada Sabtu ini.

"Memang ada sakit-sakit tetapi ia tidak menghalang saya untuk beraksi menentang Korea Selatan. 

"Saya berharap dapat meningkatkan lagi momentum dan memberi yang terbaik nanti," ujarnya. 









 

Advertisement

Must Watch Video