Skip to main content

Bola Sepak

AFC B-23: Anak buah Kim Swee pamer aksi terpuji

malaysia-b-23_2.jpg
Malaysia melakar kebangkitan dengan mengikat Jordan 1-1 dalam aksi kedua Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changsu, China, sebentar tadi. 

Pengendali, Datuk Ong Kim Swee, mengotakan janjinya untuk menerapkan corak permainan hantaran pendek meskipun berdepan kritikan hebat susulan kekalahan besar 4-1 kepada Iraq dalam aksi sulung Kumpulan C, Rabu lalu. 

Kim Swee melakukan dua rombakan dengan menurunkan Haziq Nadzli sebagai benteng terakhir untuk menggantikan Ifwat Akmal Che Kassim sambil Akhyar Rashid mengambil tempat N. Thanabalan yang tercedera, di bahagian serangan. 

Kehebatan Jordan yang turun dengan misi memburu kemenangan besar berikutan hampa diikat Arab Saudi 2-2 tiga hari lalu, gagal diterjemahkan di atas padang. 

Begitupun, kesilapan Haziq pada minit ke-16 membawa padah apabila tersilap congak ketika cuba memintas hantaran tinggi sebelum kesempatan itu digunakan Ward Al Barri untuk meletakkan skuad bimbingan Richard Brunskill itu di depan. 

Namun, barisan negara berjaya memperkemaskan aksi untuk mengimbangi permainan dengan hanya membenarkan Jordan menguasai 53 peratus penguasaan permainan. 

Kelincahan pemain Kedah, Akhyar, akhirnya memerangkap Jordan apabila dia dikasari ketika dia meluru untuk menyempurnakan tolakan Danial Amier Norhisham. 

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Safawi Rasid untuk melepaskan rembatan kencang daripada sepakan penalti yang diberikan untuk menjadikan kedudukan 1-1 -- gol keduanya dalam kejohanan ini. 

Suleiman Abu Zama'a cuba menokok gol buat Jordan melalui sepakan percuma, namun percubaannya pada penghujung permainan tidak menemui sasaran. 

Sebaliknya, Malaysia bermula lebih garang pada separuh masa kedua dan hampir memperolehi gol penyamaan selepas dua minit perlawanan bersambung. 

Jafri Firdaus Chew bijak merampas bola daripada pemain lawan di bahagian kiri sebelum melorongkan bola ke tengah pintu gol, sayangnya rembatan rendah Safawi hanya mencecah luar jaring lawan. 

Pada minit ke-57, pintu gol negara cemas ketika menangani sepakan percuma Suleiman yang cuba memerangkap Haziq sebelum situasi kelam-kabut itu berjaya ditenangkan. 

Malaysia hampir menggandakan kedudukan menerusi Akhyar ketika berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol dan kali ini tiang gol menjadi penghalang. Malah, tindakan susulan Syazwan Andik Ishak juga sedikit tersasar ketika peluang sudah terbentang luas. 

Akhyar kemudian terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan sebelum dia digantikan oleh Tommy Mawat Bada. 

Jordan yang terdesak untuk memburu kemenangan, meningkatkan asakan mereka pada penghujung permainan tetapi Haziq lebih bersedia untuk mengekang beberapa gerakan berbahaya. 

Keputusan semasa permainan selepas enam minit masa tambahan diberikan untuk Malaysia meraih satu mata penting dan seterusnya menghidupkan peluang untuk ke peringkat kalah mati.

Malaysia akan bertemu Arab Saudi pada Selasa ini jam 7.30 malam waktu Malaysia. 



 

Advertisement

Must Watch Video