Skip to main content

Bola Sepak

Adib enggan lepas peluang bermain demi negara

7217adib.jpg
Meskipun masih dalam kepenatan, ketua pasukan bawah 22 tahun negara, Adib Zainuddin, tetap berharap dapat diturunkan oleh jurulatih, Frank Bernhardt, dalam perlawanan persahabatan menentang Vietnam di Stadium Thong Nhat, malam ini.

Adib dan seorang lagi pemain, N. Thanabalan, baru sahaja membantu Felcra FC menewaskan Penjara FC 2-0 dalam pusingan pertama Piala FA, kelmarin.

Faktor itu jelas mengundang masalah kecergasan kepada Adib kerana hanya mempunyai rehat 48 jam jika diturunkan menentang Vietnam, malam ini.

Pun begitu, motivasi Adib untuk bermain demi negara mengatasi segala-galanya.

"Saya tidak mahu melepaskan kesempatan ini. Kami tahu kami kekurangan perlawanan di peringkat antarabangsa. Maka segala peluang yang datang itu saya perlu ambil," katanya.

"Saya menganggap ia sebagai satu cabaran untuk memajukan diri saya. Walaupun baru sahaja bermain, saya perlu mempersiapkan diri untuk perlawanan lebih penting ini."

Mengulas mengenai Vietnam, Adib tidak menafikan hakikat prestasi pasukan lawan itu semakin meningkat.

Justeru, dia melihat perlawanan ini sebagai satu ujian berguna buat dia dan rakan sepasukan sebelum menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos nanti. 

"Memang sedia maklum bola sepak Vietnam semakin berkembang tetapi kami tidak boleh takut dan perlu menghadapinya. Ia kerana sasaran kami dalam Sukan SEA adalah emas," tambahnya.

Bernhardt sebelum ini melahirkan kebimbangan mengenai tahap kecergasan beberapa pemain muda negara. 

Advertisement

Must Watch Video