Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mahu peluang beraksi di gelanggang sendiri esok menentang Kuala Lumpur FA digunakan sebaik mungkin walaupun pelawat mempunyai reputasi sebagai pencabar utama saingan Liga Perdana.
"KL dibarisi pemain berpengalaman yang sudah masak dengan kancah Liga Perdana tetapi sebagai tuan rumah, saya tetap optimis anak buah saya mampu bangkit," katanya.
Tambahnya lagi, "Minggu lalu pemain muda saya tewas kepada pemain Negeri Sembilan yang lebih berpengalaman di Paroi. Tetapi dari segi mutu permainan, tidak banyak beza. PKNP mampu bersaing.
"Cuma bertemu KL esok, percaturan saya kena tepat. Enam muka baru yang belum pernah beraksi akan diturunkan. Saya harap mereka dapat membuktikan sesuatu dan memberi impak kepada pasukan.
"Bukan disebabkan faktor kecederaan atau prestasi, cuma ini adalah langkah awal saya mempelbagaikan kesebelasan pemain kerana jadual perlawanan semakin padat", jelas Abu Bakar.