Tiga pelumba berbasikal paralimpik negara disahkan membawa cabaran Malaysia ke Sukan Komanwel 2026 selepas keputusan dimuktamadkan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Berbasikal Negara baru-baru ini.
Barisan pelumba itu akan diterajui juara dunia Kejohanan Dunia Trek Berbasikal Para UCI 2025, Mohd Yusof Hafizi Shaharuddin, yang akan bergandingan bersama Mohd Khairul Hazwan serta Nur Suraiya Muhammad Zamri dalam usaha memburu pingat emas di Glasgow, Scotland.
Advertisement
Jurulatih berbasikal trek para negara, Rizal Tisin, berkata persiapan pasukan ketika ini memberi tumpuan kepada kejohanan Asia (ACC) sebelum beralih tumpuan kepada misi di Sukan Komanwel.
“Tiga orang ini akan layak ke Komanwel, jadi kita akan buat persiapan selepas ACC.
“Buat masa ini fokus utama adalah kepada ACC dahulu,” katanya.
Mengulas tentang tahap persaingan, Rizal mengakui cabaran di Sukan Komanwel lebih sukar kerana Malaysia bakal berdepan kuasa besar berbasikal dunia seperti Australia, Great Britain dan New Zealand.
“Sukan Komanwel ini lebih besar dan lebih sukar berbanding Sukan Asia kerana kita akan berdepan Australia, Great Britain dan New Zealand yang juga berada di peringkat tertinggi dalam kejuaraan dunia,” jelasnya.
Rizal turut menjelaskan bahawa perlumbaan di temasya itu menggunakan format kategori gabungan C1, C2 dan C3 yang menjadikan saingan lebih mencabar buat pelumba negara.
“Di Komanwel kategori C1, C2 dan C3 digabungkan.
“Jadi Yusof perlu benar-benar bersedia kerana sebelum ini dia berlumba dalam kategori C1 sahaja.
“Apabila digabungkan, tahap persaingan akan jadi lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya lagi, acara pursuit dilihat memberi peluang lebih cerah buat Yusof berbanding acara kilometer yang turut disertai juara dunia serta pemenang pingat emas Olimpik dari Australia.
“Saya nampak acara pursuit lebih berpeluang jika dalam kategori faktor gabungan.
“Untuk kilometer agak sukar kerana ada juara dunia dan pemenang Olimpik dari Australia dalam acara itu,” katanya.