Skip to main content

Bola Sepak

UEFA bimbang peraturan baru perbelanjaan EPL

man utd oftf

Join now via My Astro App to win Man Utd jersey & merchandise!

EPL

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menyuarakan kebimbangan terhadap peraturan kewangan baharu yang diperkenalkan Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keseimbangan kewangan kelab di seluruh Eropah.

Bermula musim hadapan, kelab EPL akan menggunakan sistem nisbah kos skuad (SCR) yang membenarkan pasukan membelanjakan sehingga 85 peratus daripada pendapatan bagi kos pemain.

Advertisement

Malah dengan beberapa kelonggaran tertentu, perbelanjaan itu boleh meningkat sehingga 115 peratus.

Sebaliknya, had perbelanjaan yang ditetapkan oleh UEFA bagi kelab yang beraksi di kejohanan Eropah seperti Liga Juara-Juara (UCL), Liga Europa (UEL) dan Liga Persidangan Europa (UECL) hanyalah sekadar 70 peratus.

Pengarah Kelestarian Kewangan dan Penyelidikan UEFA, Andrea Traverso, berkata perbezaan had itu boleh mewujudkan ketegangan dalam pasaran perpindahan pemain.

Menurut Andrea, EPL kini menjana hampir suku daripada keseluruhan pendapatan kelab bola sepak di Eropah, sekali gus memberikan kelebihan besar kepada kelab England dalam menarik minat pemain terbaik dunia.

“Keadaan ini boleh mewujudkan tumpuan yang luar biasa dan membimbangkan di England,” katanya.

UEFA juga bimbang kelab di benua Eropah mungkin terpaksa mengambil risiko kewangan lebih besar bagi mengekalkan pemain terbaik mereka.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Liga Perdana Inggeris, Richard Masters, menegaskan peraturan baharu itu bertujuan mengekalkan keseimbangan persaingan dalam liga domestik.

“Sistem SCR membolehkan kelab yang jarang beraksi di pentas Eropah mempunyai ruang kewangan lebih luas untuk bersaing merebut tempat dalam kejohanan Eropah,” katanya.

Sementara itu, pakar kewangan bola sepak, Kieran Maguire, berkata kritikan terhadap EPL juga berpunca daripada kejayaan komersial liga tersebut.

Dia menjelaskan bahawa kelab EPL perlu membuat keputusan secara kolektif dalam liga mereka sendiri, berbeza dengan beberapa liga lain yang lebih dikawal badan pengurusan pusat.

Peraturan SCR dijangka mula dilaksanakan sepenuhnya musim hadapan, dengan sistem denda kewangan atau potongan mata bakal dikenakan sekiranya sesebuah kelab melampaui had perbelanjaan yang ditetapkan.

 

Must Watch Video