Skip to main content

Bola Sepak

UCL: Kelab EPL terima ‘tamparan hebat’ di aksi pertama

UCL: Kelab EPL terima ‘tamparan hebat’ di aksi pertama

Reputasi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai liga terbaik dunia ketika ini kelihatan tercalar selepas beberapa wakilnya gagal mencatat kemenangan dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu ini.

Kekalahan 0-3 Manchester City kepada Real Madrid di Santiago Bernabeu menjadi simbol kepada kemerosotan prestasi kelab gergasi England itu di pentas Eropah.

Advertisement

Real Madrid jelas menguasai perlawanan apabila ketua pasukan mereka, Federico Valverde, cemerlang meledak hatrik pada separuh masa pertama untuk memberikan kelebihan besar buat pasukannya menjelang aksi timbal balik.

Satu lagi wakil EPL, Tottenham Hotspur turut dibelasah 5-2 oleh Atletico Madrid di Madrid sehari sebelumnya.

Derita wakil kelab dari England berterusan apabila nasib sama turut menimpa Chelsea yang tewas 5-2 kepada juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG), manakala Liverpool FC pula tumpas 1-0 kepada Galatasaray.

Dalam perlawanan lain, pendahulu EPL,  Arsenal hanya mampu seri dengan Bayer Leverkusen selepas memerlukan sepakan penalti lewat permainan daripada Kai Havertz.

Newcastle United hampir mencipta kemenangan ke atas Barcelona, namun jaringan penalti saat akhir Lamine Yamal menyaksikan mereka sekadar seri di laman sendiri.

Bekas pertahanan Manchester City, Nedum Onuoha, menyifatkan situasi tersebut sebagai cabaran besar buat enam kelab England itu untuk bangkit pada aksi timbal balik.

“Walaupun pasukan seperti City dan Chelsea masih mempunyai peluang di laman sendiri, defisit besar yang perlu dikejar menjadikan tugas mereka amat sukar,” katanya.

Bekas penjaga gol England, Paul Robinson, turut menyatakan bahawa walaupun kelab England kelihatan dominan pada peringkat awal kejohanan, realitinya mereka masih perlu membuktikan keupayaan sebenar apabila berdepan pasukan elit Eropah yang lain.

Kegagalan mencatat kemenangan dalam aksi pertama ini juga mengulangi senario sama musim 2022/23 apabila semua wakil England gagal menang pada peringkat yang sama.

Situasi ini menyaksikan beberapa kelab yang mara melalui pusingan perlawanan penentuan (play-off) seperti Bodo/Glimt, Atletico Madrid, Real Madrid, PSG dan Galatasaray tampil dengan prestasi lebih meyakinkan.

Kini, harapan kelab England untuk terus bersaing dalam kejohanan elit Eropah itu bergantung kepada kebangkitan mereka pada aksi timbal balik minggu hadapan, sekiranya mereka mahu mengekalkan reputasi EPL sebagai kuasa besar bola sepak dunia. 

Topik Berkaitan

Must Watch Video