Setelah lebih sedekad menyepi tanpa sebarang kelibat, UC TATI Racing Team yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu kembali mewarnai kalendar sukan permotoran tempatan dengan penyertaan kejuaraan Formula Student Malaysia (FMS) di Litar Dato Sagor, Perak Darul Ridzuan yang dijadualkan untuk bermula pada 21 April nanti.
Walaupun hadir dengan reputasi tersendiri sebagai pasukan yang sering menaiki podium, namun buat pengurus pasukan, Mohd Saifuldin Mohd Mokhtar, melihat perlumbaan musim ini adalah peluang sama rata buat setiap pasukan bertanding.
Advertisement
“Kali terakhir kami berlumba secara kompetitif adalah pada tahun 2015 sebelum terhenti seketika disebabkan beberapa faktor semasa dan seterusnya ketandusan penganjuran perlumbaan yang boleh disertai oleh jentera kami.
“Setiap pasukan mahukan podium di Litar Dato Sagor nanti, begitu juga untuk UC TATI, namun kami lebih selesa hadir selaku pasukan bukan pilihan seperti mana sejarah pasukan ini bermula. Kami perlu memanfaatkan setiap peluang pada hari pertama perlumbaan yang akan menentukan nasib kami di hari terakhir perlumbaan.
“Sudah tentu muka-muka baru menjadi taruhan termasuk pemandu pasukan yang merupakan pelajar kami sepenuh masa di sini. Bukan hanya jentera lumba menjadi penanda aras buat kami malah buat pelajar-pelajar kami yang perlu memanfaatkan platform terbaik ini untuk mempraktikan segala kemahiran yan dipelajari dalam dunia sebenar,” jelasnya.
Manakala buat pemandu pasukan, Che Hanif Haikal Che Mat menzahirkan keterujaan setelah terpilih untuk mengendalikan jentera lumba berkuasa 150cc ini.
“Perasaan berdebar itu sudah tentu ada kerana ini adalah pengalaman pertama saya untuk berlumba secara kompetitif di dalam litar lumba yang sebenar. Saya menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada rakan sepasukan termasuk tenaga pengajar di sini yang turut sama menyiapkan jentera lumba ini. Satu permulaan yang baik buat kami semua untuk musim baru ini,” katanya.
Begitu juga buat pemandu jentera ‘Blueshark’, Eizzedin Afkar Azil Hizaq optimis dengan jentera lumba pasukan mampu untuk membuat catatan masa yang terbaik.
“Setiap jentera lumba mempunyai kelebihan masing-masing begitu juga dengan pasukan kami namun setiap pasukan perlu memanfaatkan setiap ruang dan peluang sepenuhnya di dalam litar untuk catatan masa yang lebih baik agar peluang menaiki podium itu cerah. Pasukan telah melakukan yang terbaik untuk membina jentera lumba ini, selebihnya bergantung pada kami sebagai pelumba,” ujar Eizzedin Afkar Azil Hizaq.
Pasukan yang ditunjangi sepenuhnya oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) berteraskan sains teknikal kejuruteraan di negeri pantai timur ini, mempertaruhkan dua jentera lumba satu tempat duduk berkonsepkan Formula (Single-seater Formula-style race car) yang dibangunkan oleh pelajar-pelajar bersama tenaga pengajar UC TATI itu sendiri.
Untuk rekod, kali terakhir pasukan UCTATI Racing Team menyertai perlumbaan adalah pada kejuaraan EIMARACE pada tahun 2015 di Kuantan yang berjaya meraih podium di tempat kedua perlumbaan dan juara keseluruhan berpasukan.
Formula Student Malaysia yang telah bermula sejak 2009 merupakan siri perlumbaan yang dianjurkan oleh SAE international Malaysia selaku sebuah badan global profesional dalam bidang industri aeroangkasa, automotif dan kenderaan komersial yang turut menyumbang di dalam pembangunan piawai dan penyelidikan termasuk pendidikan STEM yang menjadi pemangkin bagi setiap pasukan lumba yang hadir berentap.