Semuanya demi menguasai bola sepak Asia suatu hari nanti.
Impian Johor Datul Ta'zim (JDT) bukan hanya di peringkat dalam negara, malah menjadi pemangkin untuk mengangkat martabat bola sepak Johor di tahap lebih tinggi.
Advertisement
Tanpa Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semuanya tidak akan terjadi. Kehadiran dirinya mengubah landskap bola sepak ke arah kemajuan dan berdaya saing. Kini JDT lebih dikenali serata Asia.
Kejayaan merangkul gelaran Liga Super 12 kali berturut-turut terus menjadi bualan, malah media ternama antarabangsa turut mengikuti perkembangan kelab selatan tanah air itu.
Sejak 2013, Tunku Mahkota Johor (TMJ) membawa aura revolusi dengan pendedahan pelbagai perancangan termasuk keseluruhan pasukan, operasi dan pengurusan untuk membina sebuah empayar bola sepak terkenal.
Kini, hala tuju Harimau Selatan lebih jelas dengan pelaburan jangka masa panjang demi mengekalkan dominasi tempatan, sekali gus memburu prestij Asia.
Lazimnya, JDT tidak akan berhenti menguasai. Sejarah demi sejarah, rekod demi rekod terus terhasil. Semuanya tidak akan terjadi tanpa TMJ. Permulaan menjuarai Piala AFC 2015 menjadi titik baharu pasukan yang terus mendahagakan kemenangan.
Pembentukan akademi mapan demi generasi baharu bintang tempatan sentiasa dalam pembikinan. Visi JDT yang menjadi ikutan dan rujukan. Tidak mustahil pada masa akan datang mereka akan beraksi dalam Piala Dunia Kelab dan melangkah lebih jauh.
Kalah tiada dalam kamus JDT. Tuan rumah kepada Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu hanya selangkah mencipta rekod dunia. Pasukan yang membantu menaikkan komersial dan ranking Liga Malaysia (Liga-M) sehingga mampu mencabar negara lain.