Haiti menamatkan penantian ke Piala Dunia selama 52 tahun dan berhasrat untuk mengangkat kisah negara yang penuh bergolak.
Haiti kembali ke Piala Dunia selepas 52 tahun setelah bermain semua perlawanan kelayakan di gelanggang neutral akibat keganasan gangster di negara sendiri.
Pasukan ke-83 dunia itu akan menghadapi juara lima kali Brazil, Maghribi dan Scotland dalam peringkat kumpulan.
Untuk rekod, ini kali kedua Les Grenadiers muncul dalam kejohanan paling berprestij itu selepas kali terakhir pada tahun 1974.
Kempen itu berakhir di peringkat kumpulan tetapi Haiti meninggalkan kesan besar apabila Emmanuel Sanon menjaringkan gol menentang Itali, menamatkan rekod tanpa bolos penjaga gol Itali, Dino Zoff, selama 1,142 minit.
Penglibatan mereka dalam edisi kali ini sudah cukup untuk menggembirakan peminat di tanah air meskipun dibelenggu krisis kemanusiaan dan keselamatan.
Jounalis britanik Ian Darke ki travay pou ESPN ak TNT Sports estime Ayiti se peyi tout moun nan mond lan ki pa gen ekip ta dwe sipòte nan Mondyal 2026 la.
Malgre kriz, ensekirite ak 4 lane san jwe lakay li, Ayiti rive kalifye pou pi gwo konpetisyon foutbòl la. pic.twitter.com/BAe6aAHBjK— Haiti-Tempo (@Haititempo) June 1, 2026
“Kami tidak takut kepada sesiapa pun,” kata Duckens Nazon, penjaring gol terbanyak Haiti, kepada Reuters.
“Kami datang dengan rendah diri, tetapi juga bangga kerana kami orang Haiti,” tambah pemain berusia 32 tahun itu.
Semasa kempen kelayakan 2026, Haiti menganjurkan semua perlawanan 'home' mereka di tempat neutral, terutamanya di Curacao.
Pasukan ini tidak pernah bermain menentang pasukan lawan di tempat sendiri sejak 2021, apabila Haiti diliputi oleh keganasan selepas pembunuhan Presiden, Jovenel Moise. Pada Mac 2024, kumpulan bersenjata mengambil alih stadium kebangsaan, Stade Sylvio Cator.
Bercerita pula tentang keseluruhan skuad, Haiti memiliki keunikan tersendiri apabila banyak drama berlaku dalam masa singkat, namun tidak menjejaskan kestabilan pasukan.
Tahukah anda? Jurulatih Haiti, Sebastien Migne, iaitu bekas pengurus beberapa pasukan kebangsaan Afrika, tidak pernah menjejakkan kaki ke negara itu. Migne, yang merupakan bekas penolong jurulatih untuk Cameroon pada Piala Dunia 2022 di Qatar, telah bekerja keras untuk menambah pemain ke dalam skuad dengan akar umbi Haiti yang berkelanan di luar negara.
Penyerang mereka, Duckens Nazon, bermain untuk Esteghlal di Iran telah melarikan diri dari Tehran pada hari Amerika Syarikat (AS) dan Israel memulakan peperangan ke atas Iran awal tahun ini.
Di bahagian tengah, Jean-Ricner Bellegarde, 27, mempunyai pengalaman Eropah tatkala mewakili Wolverhampton Wanderers. Penjaga gol veteran pula, Johny Placide, 38, menjadi kapten pasukan dan bermain untuk kelab Ligue 2 iaitu Bastia di Perancis.