Juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Liverpool, dikejutkan pasukan tercorot liga, Wolverhampton Wanderers susulan tewas 1-2 awal pagi tadi.
Pengendali The Reds, Arne Slot, bagaimanapun melihat kekalahan itu sebagai peluang terbaik untuk bangkit segera apabila kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertemu di venue sama dalam aksi pusingan kelima Piala FA Jumaat ini.
Advertisement
Slot menyifatkan pertembungan semula itu sebagai 'perkara yang baik'; kerana pasukannya kini mempunyai sesuatu untuk dibuktikan.
Perlawanan liga itu tampak berakhir seri selepas Mohamed Salah menyamakan kedudukan pada minit ke-83, memanfaatkan kesilapan pertahanan Wolves untuk memadam gol pembukaan Rodrigo Gomes.
Namun, detik dramatik hadir pada masa kecederaan apabila percubaan Andre pada minit ke-94 terkena sentuhan pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Alisson Becker, sekali gus menghadiahkan Wolves hanya kemenangan ketiga mereka dalam 30 perlawanan liga musim ini.
Kekalahan itu menjadi tamparan hebat buat Liverpool yang sedang memburu kedudukan terbaik untuk memastikan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Lebih membimbangkan, Liverpool kini mencipta rekod tidak diingini apabila menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang tewas lima kali dalam satu musim akibat jaringan selepas minit ke-90.
Slot mengakui keputusan tersebut sebagai 'keputusan buruk', terutama selepas babak pertama yang kurang bermaya.
Menurutnya, Liverpool menunjukkan lebih intensiti pada separuh masa kedua dan hampir menjaringkan gol kemenangan menerusi peluang Salah serta tandukan Virgil van Dijk.
Slot menegaskan pasukannya perlu segera bangkit dan memperbaiki penyudah kerana mereka mencipta peluang mencukupi tetapi gagal menukarkannya kepada gol.
“Kadang-kadang anda perlu memberi lebih dalam separuh masa pertama untuk melemahkan lawan,” jelasnya, sambil menambah Wolves dilihat lebih cergas pada awal permainan sebelum tempo menurun pada babak kedua.
Pertemuan semula Jumaat ini kini menjadi medan penting buat Liverpool -- bukan sekadar untuk mara dalam Piala FA, tetapi bagi menebus maruah selepas kekalahan memalukan kepada pasukan bawahan liga itu.