Ketegangan yang sedang berlaku di Timur Tengah memaksa atlet tenpin boling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, membatalkan hasratnya untuk menyertai jelajah profesional di Amerika Syarikat (AS) demi mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
Syafiq sebelum ini merancang untuk beraksi dalam siri boling dunia sebagai persediaan tambahan menjelang beberapa kejohanan terbuka penting tahun ini.
Advertisement
"Saya ada rancang untuk pergi Siri Boling Dunia di AS, tetapi tengok konflik sekarang ni, kena fikir semula,” katanya.
Menurutnya, faktor keselamatan menjadi pertimbangan utama dalam membuat keputusan tersebut.
"Sekarang ada perang ini kita kena fikir balik, sebab saya ada keluarga. Saya tak mahu keluarga saya risau,” jelasnya.
Penyertaan dalam jelajah itu dilihat sebagai platform terbaik untuk mengasah prestasi dan mengumpul momentum bagi melayakkan diri ke Kejohanan Tenpin Boling Asia di Doha, Qatar, November depan.
Hanya enam wakil lelaki akan dipilih menggalas cabaran negara ke kejohanan itu, menjadikan persaingan dalam kem negara cukup sengit.
Syafiq mengakui setiap pemain memiliki kelebihan tersendiri.
"Macam di sukan boling ini semua berada pada tahap yang lebih kurang. Kelebihan saya lebih kepada pengalaman 22 tahun dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Walaupun saingan semakin mencabar, Syafiq melihat tekanan ketika ini sebagai elemen positif dalam meningkatkan prestasi.
"Tekanan itu sebenarnya bagus. Saya ambil sebagai sesuatu yang positif dan bukan satu yang membebankan." ujarnya.