Sukan Malaysia (Sukma) bukan sahaja sebuah medan buat atlet muda negara mencari rentak dalam permulaan karier, namun temasya yang dipertandingkan secara dwitahunan itu merupakan sebuah rantaian penting buat ekosistem sukan negara.
Sukma sebagai sebuah temasya yang signifikan buat negara dalam mencungkil serta melahirkan atlet elit negara yang berpotensi besar terus melangkah ke peringkat antarabangsa termasuk impian emas pertama negara di Sukan Olimpik.
Advertisement
Tanpa Sukma, tidak lahirkan jaguh-jaguh negara seperti Datuk Seri Lee Chong Wei (Badminton), Datuk Pandelela Rinong (terjun) dan Datuk Azizulhasni Awang dan ramai lagi.
Sukma yang digelar sebagai ‘mini Olimpik’ Malaysia itu dipertandingkan buat kali pertama di Kuala Lumpur pada 1986 di Stadium Merdeka.
Malam tadi, negara dikejutkan dengan kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, merangkul emas acara keirin di Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 sekali gus menewaskan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Meskipun usia sudah melonjak 38 tahun, henjutan magis The Pocket Rocketman itu memperlihatkan bakat besar negara yang lahir daripada sebuah temasya bernama Sukma.
Untuk rekod, sepanjang karier Azizulhasni, telah menyertai tiga edisi Sukma:
Dalam debut pertamanya di temasya Sukma Negeri Sembilan pada 2004, dia mewakili pasukan Kuala Lumpur dan menamatkan penyertaan tanpa sebarang pingat.
Begitupun, penyertaan kali kedua Azizul membuahkan hasil apabila berjaya menyumbangkan satu pingat emas menerusi acara 200m (meter) dan pingat perak dalam acara 1km (kilometer) buat kontinjen Terengganu yang diwakilinya ketika itu.
Daripada masa ke semasa, persembahan Azizul di pentas Sukma lebih matang dengan penyertaan buat kali ketiga dalam Sukma 2008 menyaksikan dia menyambar pingat emas dalam acara 200m dan 1km di laman sendiri.
Tanpa Sukma, mungkin tidak lahirnya Azizulhasni Awang, Lee Chong Wei dan nama-nama besar lain sebagai 'role model' yang menjadi penanda aras buat atlet muda negara.
Oleh itu, penganjuran Sukma adalah jawapan terbaik sama ada temasya ini wajar diteruskan ataupun sebaliknya.