Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, dalam sidang media hari ini mengesahkan seramai 33 penyokong bola sepak Selangor ditangkap berhubung kekecohan yang dicetuskan di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu semalam.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu menentang Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam tadi.
Advertisement
Menurut kenyataan yang diberikan, sekumpulan penyokong berkenaan menimbulkan kekecohan dengan berarak secara tidak terkawal dan membakar suar, yang jelas satu tindakan berbahaya, tidak bertanggungjawab dan melanggar undang-undang.
"Hasil pemeriksaan terhadap pemandu dan penumpang bas berkenaan, pihak polis telah menjumpai serta merampas dadah yang disyaki ganja seberat 19.1 gram dan erimin 5 seberat 0.37 gram," kata Mohd Khairi dalam kenyataannya.
"Kesemua dadah yang dirampas dipercayai adalah untuk kegunaan sendiri melibatkan tiga kes dan tiga tangkapan."
Pihak polis turut menjalankan ujian air kencing terhadap keseluruhan 412 orang, termasuk pemandu dan penumpang bas.
Sembilan individu lelaki ditahan kerana memiliki suar dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 186 kanun keseksaan.
"Dalam 186 ini, kami tanyakan kepadanya kenapa membakar suar di Jambatan Angkat, dan kenyataannya, 'Tak kan mahu bakar suar dalam hutan, nak suruh beruk tengok ke?' dan atas kesalahan itu kami menangkapnya kerana dia mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya kepada penjawat awam," ulas Mohd Khairy.
Selain itu, tiga individu lelaki juga ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja dan disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mereka juga turut disiasat di bawah Seksyen 122 akta dadah berbahaya 1952.
21 individu juga didapati positif dadah jenis ganja hasil ujian saringan air kencing dan ditahan di bawah Seksyen 15(1a) Akta Dadah Berbahaya 1952.