Johor Darul Ta'zim diambang kejuaraan ke-12 Liga Super dengan ‘tenang’ apabila keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes tujuh pemain tidak menjejaskan penyertaan mereka dalam saingan domestik.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam mengesahkan pendaftaran tiga pemain JDT dan seorang pemain Kuching City sebagai pemain tempatan adalah mematuhi Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2025/2026.
Advertisement
MFL dalam satu kenyataan menjelaskan manual liga menetapkan pemain boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dengan memuat naik salinan kad pengenalan atau pasport sah melalui sistem FIFA Connect.
Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero pula telah melengkapkan proses pendaftaran menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sehubungan itu, MFL menegaskan tiada pelanggaran peraturan dilakukan oleh kelab terbabit dalam pendaftaran pemain berkenaan bagi musim 2025-26.
Ini juga bermakna, kemenangan JDT dan Kuching City ketika menurunkan pemain terbabit tidak akan ditarik balik, ketika Harimau Selatan hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan musim ini.
Pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar, bagaimanapun, berharap agar situasi pelik itu tidak membunuh bola sepak negara, terutama semangat anak jati tempatan menjelang perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia bertemu Vietnam hujung bulan ini.
"Persediaan pasukan kebangsaan perlu diteruskan, bola sepak Malaysia tidak boleh mati, bola sepak Malaysia harus hidup dengan cemerlang," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kita masih ada pemain tempatan dan saya harap mereka berjuanglah dengan sehabisnya kerana saya harap persiapan dapat dilakukan secepat mungkin.
"Panggilah pemain tempatan dan saya yakin mereka juga mahu membuktikan kepada dunia bahawa mereka juga berkemampuan untuk mewakili pasukan negara dan seterusnya memberikan kejayaan.