Skuad hoki lelaki bawah 18 tahun negara menamatkan kempen Piala Asia B18 2026 di kedudukan keempat selepas tewas 0-3 kepada Pakistan dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung hari ini.
Pakistan terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Uzair Ahmad Qureshi sebelum Haider Asam menggandakan kelebihan menerusi pukulan penalti pada minit ke-23.
Malaysia cuba bangkit pada babak kedua dengan meningkatkan intensiti permainan, namun Pakistan terus memanfaatkan peluang yang hadir apabila Adeel menambah gol ketiga menerusi jaringan padang pada minit ke-59 untuk memastikan kemenangan mutlak pasukan lawan.
Ketua jurulatih negara, Harfizi Baharom, mengakui beberapa kesilapan mudah menjadi punca pasukannya dihukum oleh Pakistan yang bijak memanfaatkan serangan pantas.
“Dari sudut permainan, kami cuba bermula dengan positif, namun beberapa kesilapan mudah menyebabkan kami dihukum apabila Pakistan menggunakan serangan pantas mereka untuk menghasilkan pukulan sudut penalti dan gol awal.
“Pada peringkat antarabangsa ini, setiap kesilapan memberikan kesan besar dan lawan berjaya mengambil kesempatan dengan baik,” katanya.
Walaupun kecewa dengan keputusan tersebut, Harfizi tetap memuji semangat juang yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan.
“Saya tetap menghargai usaha dan komitmen pemain yang berjuang sehingga wisel penamat. Mereka tidak pernah berhenti mencuba walaupun berdepan situasi yang sukar,” jelasnya lagi.
Mengulas keseluruhan kempen pasukan, Harfizi menyifatkan kejohanan itu sebagai pengalaman penting dalam proses pembangunan pemain muda negara meskipun skuad Malaysia terpaksa menerima beberapa keputusan mengecewakan termasuk tiga kekalahan sepanjang kejohanan.
“Secara keseluruhannya, kempen ini memberikan banyak pengajaran kepada pasukan. Pemain menunjukkan semangat juang dan keberanian untuk bersaing di pentas Asia.
“Masih banyak aspek yang perlu diperbaiki terutama dari segi membuat keputusan di bawah tekanan, disiplin bertahan, penyudah serta konsistensi permainan.
“Saya percaya pengalaman ini akan menjadi asas penting dalam pembangunan pemain-pemain muda ini untuk masa hadapan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad remaja negara sepanjang kejohanan berlangsung.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain, pegawai pasukan, keluarga, penyokong dan pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad ini sepanjang kejohanan.
“Sebagai ketua jurulatih, saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap prestasi pasukan dan bersedia menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh pihak pengurusan serta jawatankuasa selepas penilaian dilakukan,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada para pemain agar menjadikan kekalahan tersebut sebagai motivasi untuk terus berkembang sebagai pemain yang lebih matang dan berdaya saing.
“Kepada para pemain, perjalanan anda masih panjang. Jadikan kekalahan ini sebagai pengajaran untuk terus bekerja keras dan kembali sebagai pemain yang lebih matang serta lebih kuat pada masa akan datang,” katanya.