Pasukan kebangsaan Iran memberi reaksi tegas terhadap kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mencadangkan kehadiran Iran di FIFA World Cup 2026 mungkin 'tidak sesuai' atas faktor keselamatan.
Trump sebelum ini berkata pasukan Iran dialu-alukan untuk bertanding, namun dia berasakan penyertaan mereka di kejohanan yang dianjurkan bersama oleh United States, Kanada dan Mexico mungkin berisiko kepada keselamatan pemain susulan ketegangan geopolitik semasa.
Advertisement
Melalui kenyataan di media sosial, skuad Iran menegaskan bahawa tiada mana-mana negara mempunyai kuasa untuk menyingkirkan mereka daripada Piala Dunia.
Menurut kenyataan tersebut, kejohanan itu berada di bawah kuasa badan bola sepak dunia, FIFA, bukannya mana-mana pemimpin politik atau negara tuan rumah.
Pasukan itu juga menegaskan bahawa mereka layak ke kejohanan tersebut berdasarkan prestasi di padang, sekali gus menolak sebarang cubaan mencampur adukkan politik dengan sukan.
Kontroversi ini berlaku ketika konflik geopolitik di Timur Tengah semakin memuncak, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan pasukan Iran jika mereka beraksi di Amerika Syarikat.
Iran sebenarnya antara negara yang awal mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026, namun situasi politik semasa menyebabkan penyertaan mereka masih belum pasti.
Jika Iran menarik diri atau disingkirkan, FIFA berhak menentukan pasukan pengganti bagi slot tersebut dalam kejohanan 48 pasukan itu.
Isu ini sekali lagi menunjukkan bagaimana politik global boleh memberi kesan langsung kepada sukan antarabangsa, terutama apabila kejohanan terbesar dunia seperti Piala Dunia menjadi pentas kepada konflik diplomatik.