Malaysia terus menegaskan reputasinya sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf tinggi daripada Sukan SEA dan Sukan Malaysia (SUKMA), hinggalah sambutan peringkat kebangsaan seperti Hari Sukan Negara.
Namun kini, kejayaan penganjuran tidak lagi diukur semata-mata melalui jumlah penyertaan atau kemeriahan di lokasi acara. Ia turut dinilai berdasarkan sejauh mana acara tersebut menyumbang kepada Sustainable Development Goals (SDG).
Advertisement
Di sinilah komunikasi strategik memainkan peranan utama dalam menyokong SDG. Inisiatif oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) pada tahun lalu membuktikan bahawa setiap mesej sukan yang disalurkan secara terancang mampu menjadi pemangkin kepada agenda kelestarian negara.
Daripada Pengurusan Acara ke Pengurusan Impak
Insiden pasca perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tahun 2018 mendedahkan cabaran sebenar pengurusan sisa berskala besar. Tempat duduk yang dipenuhi sampah mencetuskan perbincangan nasional mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan dan alam sekitar.
Rentetan itu, program kesedaran dan pembersihan pernah dilaksanakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada tahun 2018 melalui Biro Alam Bina Lestari KBS dengan kerjasama SWCorp Malaysia serta Persatuan Lestari Alam Malaysia berkaitan pengurusan sampah di stadium selepas Final FA 2018.
Pendekatan komunikasi tidak lagi bersifat simbolik, tetapi berfungsi sebagai medan pendidikan awam dan perubahan tingkah laku sosial setiap individu yang menjurus kepada pendekatan kelompok yang akan menyumbang kepada masyarakat khususnya.
Inisiatif UKK JBSN: Komunikasi Sebagai Pemangkin SDG
Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Perak JBSN (25 Tahun JBSN) yang dilaksanakan pada 10 November 2025 (Isnin) bertempat di Dewan Podium dan sekitar Menara KBS, Putrajaya dihadiri oleh Warga JBSN dan pemegang taruh utama dan terbuka kepada semua dihiasi dengan program-program berkaitan belia dan sukan. Antara slot yang menjadi perhatian ialah Booth Pameran SDG oleh SWCorp WPKL dan Sesi Perkongsian oleh SWCorp WPKL bertajuk Pelaksanaan Agenda SDG melalui Penganjuran Acara Belia dan Sukan.
Taklimat oleh SWCorp WPKL menekankan strategi pengurusan sisa, kelestarian dan integrasi SDG dalam penganjuran acara, dengan memfokuskan kepada pembentukan budaya hijau dalam kalangan warga JBSN dan rakan strategik amnya.

Bagi menyokong agenda SDG secara tersusun pada masa akan datang, beberapa program komunikasi berimpak tinggi perlu dianjurkan merangkumi:
1. Kempen Kesedaran Kelestarian Semasa Acara Sukan
Mesej disampaikan melalui paparan skrin utama stadium dan lokasi acara, media sosial rasmi, serta liputan media arus perdana untuk mendidik penonton dan pengunjung tentang pengurusan sisa yang merupakan tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar.
2. Penglibatan Sukarelawan Belia sebagai Duta Kelestarian
Belia dilatih sebagai agen perubahan tingkah laku, mempromosikan amalan hijau sebelum, semasa dan selepas acara.
3. Kolaborasi Strategik Antara Agensi dan NGO
UKK JBSN bertindak sebagai penyelaras komunikasi antara jabatan, rakan strategik dan media, memastikan mesej SDG disampaikan secara berfakta dan konsisten.
4. Penerapan Naratif SDG dalam Promosi dan Publisiti Pengajuran Acara
Semua bahan promosi dan kenyataan media tidak sekadar menonjolkan penganjuran acara, tetapi turut menekankan nilai kesihatan, kesejahteraan komuniti serta kelestarian alam sekitar.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi global dalam memperkukuh pelaksanaan SDG melalui perkongsian pelbagai pihak.
Menginstitusikan SDG dalam Penganjuran Sukan oleh KBS
Untuk menjadikan kelestarian sebagai teras utama penganjuran acara, satu garis panduan atau pekeliling penganjuran acara sukan dengan elemen SDG wajar diwujudkan, merangkumi pelan pengurangan plastik dan pengasingan sisa wajib, pelaporan impak alam sekitar pasca acara, polisi integriti dan tadbir urus yang telus.
Tertarik dengan kenyataan YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia YB Tuan Taufiq di media baharunya di Facebook semasa pelaksanaan Sesi Libat Urus di Stadium Bukit Jalil bersama dengan 20 orang MP kerajaan yang dilantik sebagai Friends of Ministry (FOM) KBS yang akan berperanan memberi cadangan bagi menambah baik dasar dan program Kementerian, YBM menyatakan RUU Pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) merupakan satu langkah penting bagi memastikan ekosistem sukan negara terus relevan, berintegriti dan selari dengan keperluan semasa. Justeru itu, saya berpendapat bahawa suntikan elemen SDG dalam penganjuran acara sukan yang diadakan di Malaysia perlu disuntik ke dalam pindaan ini dalam memastikan tanggungjawab kita di pelbagai peringkat terlaksana secara inklusif demi kepentingan bersama.
Peranan ini juga sebagai persediaan dalam menyambut pelaksanaan penganjuran SEAGAMES 2027 pada tahun hadapan.
Pelaksanaan pelan komunikasi krisis dan komunikasi perubahan tingkah laku
Perhubungan awam harus menjadi tunjang kepada keseluruhan ekosistem ini dalam memastikan dasar diterjemahkan kepada tindakan, dan tindakan pula didokumentasikan sebagai impak.
Pelaksanaan pelan berkaitan perlu direalisasikan segera selaras dengan perubahan semasa yang sentiasa cakna terhadap pembangunan belia dan sukan negara.
Legasi Sukan yang Lebih Bermakna
Acara sukan bukan sekadar platform persaingan dan pembangunan tetapi ruang pembentukan nilai masyarakat. Apabila komunikasi dirancang secara strategik dan disokong dasar yang jelas, setiap program dan kejohanan menjadi medan pendidikan awam tentang kesedaran, kelestarian dan tanggungjawab sosial.
Inisiatif JBSN membuktikan bahawa komunikasi korporat berfokus mampu menyokong SDG secara praktikal. Cabaran kini adalah memperkukuh usaha ini melalui dasar nasional yang konsisten, agar legasi sukan Malaysia bukan sahaja gemilang di arena, tetapi juga mampan untuk generasi akan datang.
Dr. Nul Widaya Mohamed Nawi
Pensyarah Kanan, Program Komunikasi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Sabah