Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, mahu anak buahnya bangkit daripada kekecewaan untuk misi ke final Piala Malaysia musim ini.
Juara 33 kali itu akan berdepan Kuching City untuk aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia di tempat lawan pada Sabtu ini setelah terikat 1-1 dalam pertemuan pertama di laman sendiri pada 5 April lalu.
Advertisement
Selangor tampak akan turun ke perlawanan itu dengan 'mood' kurang baik susulan diikat Sabah 1-1 dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.
Keputusan itu menyaksikan peluang Gergasi Merah untuk mempertahankan gelaran naib juara Liga Super semakin tipis ketika saingan berbaki tiga perlawanan.
"Kami memiliki perlawanan penting, separuh akhir kedua Piala Malaysia," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Kami perlu bangkit dengan lebih kuat dan masih ada banyak ruang untuk diperbaiki.
"Kami perlu memperbaiki beberapa perkara, ada banyak kesilapan individu dan ada kombinasi yang tidak menjadi.
"Perkara seperti ini perlu diperbaiki dari satu perlawanan ke satu perlawanan, terutama dengan cara kami dibolosi. Sebagai pasukan kuat, kami tidak boleh bolos dengan cara seperti itu."
Selain mengintai peluang ke pentas final Piala Malaysia, Selangor juga pastinya mahu mengekalkan rekod 15 perlawanan tanpa kalah di bawah bimbingan pengendali dari Korea Selatan itu.