Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz, menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab besar sebagai ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Komanwel 2026.
Advertisement
Dia mengakui tugasan itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan edisi kali ini menyaksikan pengurangan jumlah acara dipertandingkan selain beberapa sukan yang selama ini menjadi penyumbang utama pingat negara tidak lagi disenaraikan.
“Pertamanya saya ucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Menteri Belia dan Sukan kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi CDM Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Ini adalah satu cabaran kepada kita juga kerana Sukan Komanwel kali ini tidak sama seperti sebelum ini kerana konsepnya agak berbeza dan bilangan acara dipertandingkan dikurangkan.
“Antara sukan lubuk pingat seperti badminton, terjun, ping pong dan skuasy tidak dipertandingkan.
“Jadi kita kena lihat balik strategi kita untuk memenangi pingat pada kali ini,” katanya.
Awalan menyifatkan situasi itu menuntut perancangan lebih tersusun dan persiapan menyeluruh bagi memastikan atlet negara tetap mampu bersaing di peringkat tertinggi.
“Itu agak mencabar, jadi secara realistiknya kita tidak boleh meletakkan sasaran terlalu tinggi dari segi bilangan pingat.
“Walau bagaimanapun, barangkali kita boleh sasarkan kedudukan tertentu yang mahu dicapai dalam kalangan pasukan yang menyertai Sukan Komanwel kali ini,” katanya lagi.
Dalam pada masa sama, Awalan turut memaklumkan tekanan terhadap acara boling padang ketika ini semakin meningkat susulan ketiadaan beberapa sukan popular lain dalam temasya itu.