Skip to main content

Terjun

Sukan Asia: Dhabitah enggan tertekan dengan KPI, fokus pemulihan serta program latihan

DHA

Olimpian negara, Nur Dhabitah Sabri, memilih untuk tidak terlalu memikirkan mengenai pengumuman yang bakal dikeluarkan Persekutuan Renang Malaysia (MAS).

Hal ini berikutan dengan keputusan MAS yang memaklumkan akan menilai semula kontrak mana-mana penerjun senior kebangsaan yang gagal mencapai sasaran prestasi menjelang Sukan Asia 2026.

Advertisement

Sebaliknya, dia menjelaskan fokus utamanya ketika ini adalah terhadap latihan harian serta persiapan bagi menghadapi kejohanan pemilihan kebangsaan yang menjadi platform penting untuk mengumpul merit ke pentas antarabangsa.

"Kalau Petunjuk Prestasi Utama (KPI), itu memang macam biasa, semua benda memang ada KPI.

"Tapi saya tidak mahu fokus sangat akan KPI. Saya lebih fokus pada diri saya, pemulihan dan program latihan,” katanya.

Menurut Dhabitah, program latihannya berjalan mengikut perancangan jurulatih dan setakat ini berada di landasan tepat.

Mengulas peluang ke kejohanan antarabangsa, Dhabitah berkata semuanya bergantung kepada Skor Kelayakan Minimum (MQS).

"Kita ikut markah MQS. Kalau capai, harapnya Malaysia akan hantar nama untuk kami bertanding di sana. Setakat ini belum dapat apa-apa info lagi,” ujarnya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 itu bagaimanapun kekal optimis dan percaya kerja keras dalam latihan akan membuahkan hasil.

Dalam pada itu, Dhabitah turut melihat perkembangan memberangsangkan kem terjun negara, khususnya selepas beberapa pelapis muda diserap ke dalam program podium kebangsaan.

Antara yang mencuri perhatiannya adalah penerjun muda, Lee Yiat Qing.

"Kalau nak cakap secara spesifik, Lee Yiat Qing setakat ini sangat bekerja keras. Saya sangat suka dengan etika ketika dia di latihan, dia sangat profesional,” katanya.

Dhabitah menyifatkan dua elemen paling penting dalam fasa awal pembangunan atlet adalah kerja keras dan disiplin.

 

Must Watch Video