'Menerima keputusan yang telah dibuat oleh jawatankuasa disiplin FIFA serta akur terhadap keputusan tersebut disifatkan sebagai langkah terbaik demi masa depan bola sepak negara', itu pandangan bekas penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali, yang menegaskan bahawa Malaysia kini perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan akar umbi.
"Keputusan daripada FIFA telah dibuat. Kita harus terima atas hukuman yang telah dikenakan. Perkara utama sekarang adalah kita harus meningkatkan kualiti program akar umbi seperti yang saya usahakan ketika ini," kata Safee.
Advertisement
"Ia adalah usaha untuk mematangkan permainan bakat muda di peringkat awal."
Safee turut mengingatkan agar kesilapan sama tidak berulang dan semua pihak perlu terus memandang ke hadapan, apatah lagi apabila Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC), yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara, Tun Md Raus Sharif, gagal mengenal pasti individu utama yang terlibat dalam pemalsuan dokumen.
Ketika ini, harapan Malaysia hanya bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia yang diharapkan memihak kepada skuad negara.
"Melihat ke hadapan, kita harus mengelak daripada melakukan perkara yang sama dan langkah demi langkah akan menjadi lebih baik. Saya percaya sokongan tetap harus diberikan kepada Harimau Malaya kerana merekalah yang mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa."
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman tiga perlawanan antarabangsa Tier 1 Harimau Malaya diisytiharkan sebagai kalah 3-0.
Ia membabitkan perlawanan persahabatan berdepan Cape Verde, Singapura dan Palestin.