Australia Barat dan penganjur liga negara itu dalam satu kenyataan bersama menyalahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atas syarat-syarat yang membebankan hingga memaksa idea melangsungkan perlawanan Serie A di antara juara Eropah tujuh kali, AC Milan dan Como, pada 8 Februari depan dibatalkan.
Milan -- yang berminat untuk promosi di peringkat global itu -- tidak dapat menjadi tuan rumah kerana dua hari sebelumnya, San Siro akan menjadi majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk sambil Australia Barat berpendapat cadangan tersebut mampu menjana lebih $280 juta (RM1.1 bilion).
Advertisement
Perlawanan yang dicadang di Stadium Optus, Perth, itu sepatutnya menjadi sejarah yang menyaksikan perlawanan liga Eropah peringkat tertinggi yang menawarkan mata liga diadakan di luar negara buat julung kalinya, namun idea itu tidak menjadi kenyataan setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk membatalkannya didorong oleh risiko kewangan, syarat kelulusan yang membebankan dan komplikasi saat akhir yang di luar kawalan mereka.
"Kerajaan kami bekerjasama rapat dengan AC Milan serta Serie A, dan kami yakin acara pertama dunia ini akan berlangsung di Perth," kata Menteri Sukan dan Rekreasi Australia Barat, Rita Saffioti.
"Ia mengecewakan, tetapi ia adalah keputusan yang tepat -– kami tidak sanggup mendedahkan Australia Barat kepada tahap risiko yang tidak boleh diterima.
"Projek ini telah dirunding selama 12 bulan dan kami melakukan segala yang termampu untuk merealisasikannya tetapi politik bola sepak, isu perundangan dan birokrasi telah menjadi penghalang.
“Yang penting, tiada pembayaran telah dibuat dan Australia Barat juga tidak mengalami kerugian dalam proses ini kerana tiada persetujuan dicapai.”
Presiden Lega Calcio Serie A, Ezio Simonelli, pada minggu lalu menegaskan perlawanan itu akan diteruskan walaupun terdapat syarat-syarat baharu termasuk AFC mahu melantik sendiri pengadil aksi tersebut.