Biarpun baru sahaja digandingkan, pasangan dancesport negara, Vincent Lee dan Madeleine Lau, sedia melakar kejutan dalam Kejohanan Asia Ten Dance B-21 di Uzbekistan.
Menurut mereka, kekerapan berlatih bersama sejak disatukan, banyak membantu mempercepatkan proses membina keserasian memahami rentak dan kekuatan masing-masing demi menampilkan persembahan memukau yang mampu menambat hati juri.
"Sebelum ini saya perlu terbang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada setiap hujung minggu demi sesi latihan.
"Oleh kerana saya kini berhijrah ke sini sebagai penuntut, jadi kami berpeluang berlatih empat kali seminggu," kata Vincent di Nadi Arena.
Ketua jurulatih dancesport negara, Chua Zjen Fong, turut menyandarkan keyakinan tinggi terhadap gandingan muda itu dan berhasrat melihat mereka menembusi pentas akhir dalam penampilan sulung.
Keyakinan itu hadir berdasarkan kualiti kedua-dua penari itu yang disifatkan sebagai satu padanan mantap yang mampu menjadi aset jangka panjang dancesport negara.
"Walaupun masih muda dan dalam tahun pertama kategori B-21 ini, tapi kami mahu mereka sampai ke peringkat akhir.
"Dalam masa sama, atlet negara juga mendapat pendedahan ke negara luar negara selain pakar dari luar negara juga akan hadir memantau persiapan mereka di sini.
"Kami mahu mengadakan iniasitif ini dengan lebih kerap supaya dapat meraih keputusan yang bagus buat Malaysia," katanya pula.