Dalam dunia sukan moden, keterujaan tidak hanya dirasai oleh atlet di gelanggang, malah turut dialami oleh jutaan penyokong yang menonton dari stadium atau skrin televisyen.
Kajian dalam bidang Sports Psychology menunjukkan bahawa menonton perlawanan sukan berintensiti tinggi boleh meningkatkan kadar degupan jantung penonton secara signifikan, hampir menyerupai reaksi fizikal atlet yang sedang bertanding.
Advertisement
Fenomena ini memperlihatkan bahawa sukan bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman emosi yang mampu memberi kesan langsung kepada fisiologi manusia.
Apabila penonton menyaksikan detik kritikal seperti gol pada minit akhir, penalti penentuan atau aksi final Kejohanan Badminton Seluruh England yang berlangsung sengit melibatkan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tubuh secara automatik mengaktifkan tindak balas yang dikenali sebagai 'Fight-or-flight respons'.
Dalam keadaan ini, hormon seperti adrenalin dan kortisol dilepaskan ke dalam aliran darah. Kesannya termasuk:
1) Peningkatan kadar degupan jantung
2) Tekanan darah yang lebih tinggi
3) Pernafasan lebih cepat
4) Tahap fokus yang meningkat
Reaksi ini sebenarnya merupakan mekanisme semula jadi tubuh untuk menghadapi tekanan atau ancaman, walaupun dalam konteks menonton sukan ia hanyalah pengalaman emosi.
Satu lagi faktor penting ialah keterikatan identiti penyokong terhadap pasukan. Dalam kajian psikologi sukan, penyokong yang sangat setia cenderung mengalami tindak balas emosi yang lebih kuat apabila pasukan mereka bertanding.
Ini kerana kemenangan atau kekalahan pasukan sering dianggap sebagai sebahagian daripada identiti sosial penyokong itu sendiri. Apabila pasukan menjaringkan gol atau memenangi perlawanan, otak akan melepaskan dopamin — bahan kimia yang berkait dengan rasa ganjaran dan kepuasan.
Sebaliknya, kekalahan dramatik boleh mencetuskan tekanan emosi yang ketara.
Beberapa kajian dalam bidang kardiology menunjukkan bahawa semasa perlawanan penting, degupan jantung penonton boleh meningkat sehingga 20 hingga 30 peratus berbanding keadaan rehat.
Dalam kes tertentu, terutama ketika perlawanan berprofil tinggi seperti final kejohanan besar, terdapat laporan peningkatan kes kecemasan berkaitan jantung di hospital berhampiran stadium.
Walaupun kejadian serius jarang berlaku, fenomena ini membuktikan bahawa tekanan emosi yang tinggi boleh memberi kesan kepada sistem kardiovaskular.
Namun, kesan fisiologi ini juga menunjukkan kuasa unik sukan dalam menyatukan emosi manusia. Sama ada di stadium yang penuh atau di ruang tamu rumah, penonton berkongsi kegembiraan, ketegangan dan kekecewaan secara kolektif.
Di sinilah sukan memainkan peranan sebagai fenomena sosial yang melangkaui sempadan budaya dan geografi.
Peningkatan kadar degupan jantung ketika menonton sukan membuktikan bahawa keterlibatan emosi penyokong bukan sekadar metafora. Ia adalah tindak balas biologi sebenar yang menunjukkan betapa mendalamnya hubungan antara manusia dan sukan.
Dengan kata lain, bagi penyokong setia, menonton perlawanan bukan sekadar melihat aksi di padang -- tetapi turut 'merasainya' secara fizikal.