Kuartet 100 meter berganti-ganti lelaki Johor mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kejohanan berusia 10 tahun untuk meraih pingat emas SUKMA Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Kuartet yang diketuai raja pecut SUKMA 2026, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, bersama Mohamad Haziq Ilmani Osman, Muhammad Airiel Ali Iskandar Rusli dan Adam Harith Hairulaydiel, mencatat masa 39.46 saat (s).
Catatan itu memadam rekod lama 39.89s yang dicipta kuartet Melaka pada SUKMA Sarawak 2016 menerusi Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Asnawi Hashim dan Muhammad Azam Masri.
Kejayaan tersebut turut melengkapkan koleksi emas kedua Danish di SUKMA Selangor 2026 selepas dia terlebih dahulu menjuarai acara 100m lelaki pada final semalam.
Kuartet Sabah yang dibarisi Mohammad Azri Mohammad Asli, Carlson Camilus, Pengiran Aidil Auf Ha dan Airiel Amani Haikal meraih perak dengan catatan 39.88s.
Sementara itu, tuan rumah Selangor terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas kuartet Ahmad Sufi Mohd Faisal, Danish Irean Tamin, Muhammad Aryan Syahmi Aidil Hakim dan Muhammad Arsyaf Ashraf Herwan merekodkan 40.29s.
Kemenangan itu menyaksikan Johor bukan sahaja membawa pulang emas, malah meninggalkan tanda aras baharu dalam acara 4x100m lelaki di pentas SUKMA.